Dewan Rakyat: Malaysia belum lagi iktiraf kerajaan Afghanistan - Kamarudin
Ridauddin Daud
Mac 16, 2022 13:05 MYT
Mac 16, 2022 13:05 MYT
KUALA LUMPUR: Libat urus melibatkan Malaysia dan Afghanistan yang diadakan pada Januari dan Februari lepas bukan bermakna Malaysia sudah mengiktiraf kerajaan Afghanistan.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, usaha libat urus itu adalah untuk memastikan negara tersebut tidak mengalami keruntuhan dari segi sosio-ekonomi dan kemanusiaan.
Menurutnya, seperti yang diumumkan sebelum ini, pengiktirafan kerajaan Afghanistan boleh berlaku melalui dua saluran.
“Pertamanya, sebagai sebuah negara anggota OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam), Malaysia boleh mengambil kira pendirian yang ditetapkan secara bersama dalam pertubuhan ini terhadap isu pengiktirafan di Afghanistan.
“Kedua, mengiktiraf kerajaan Afghanistan bersama dengan negara-negara yang sehaluan (like-minded) setelah kerajaan tersebut dianggap telah memenuhi dan mematuhi kesemua syarat yang ditetapkan.
“Ia termasuklah penubuhan sebuah kerajaan yang inklusif, memelihara dan mempertahankan hak asasi golongan wanita dan etnik minoriti di Afghanistan,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Rabu bagi menjawab soalan dibangkitkan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH - Lembah Pantai) yang bertanya adakah kerajaan berhasrat untuk mewujudkan hubungan dengan kerajaan Afghanistan.
Tambah beliau, Malaysia menggalakkan sektor swasta negara untuk meninjau peluang pelaburan dan perdagangan di Afghanistan.
“Terdapat banyak potensi pelaburan dan perdagangan di Afghanistan seperti infrastruktur, perlombongan, pertanian, telekomunikasi dan perbankan Islam.
“Selain itu, Kerajaan kekal komited untuk menyediakan program pembinaan kapasiti teknikal melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia yang dikendalikan oleh Kementerian Luar Negeri,” ujarnya.
Jelasnya, Malaysia akan terus memantau perkembangan di Afghanistan.
“Sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh Menteri Luar Negeri pada 14 Mac yang lalu, saya akan mewakili Malaysia ke Mesyuarat Menteri-menteri Luar OIC di Islamabad pada 22 hingga 23 Mac 2022.
“Kita jangkakan akan ada perkembangan selepas mesyuarat tersebut,” katanya.