Dewan Rakyat: MA63, isu bayaran pencen B40 jadi tumpuan hari ini
Afiezy Azaman
September 29, 2021 06:05 MYT
September 29, 2021 06:05 MYT
KUALA LUMPUR: Isu bayaran pencen bagi golongan B40 antara isu bakal dikupas pada persidangan Parlimen, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, perkara itu terkandung semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang akan diajukan Kasthuriraani Patto (DAP-Batu) kepada Perdana Menteri.
Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) pula akan meminta Menteri Kanan Kerja Raya menyatakan apakah cabaran dihadapi dan bagaimana untuk membantu sektor pembinaan menghadapi cabaran kesan daripada wabak COVID-19.
Dalam sesi soal jawab lisan itu juga, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Pandan) meminta Menteri Sains Teknologi dan Inovasi menyatakan dengan lebih terperinci mengenai kos program vaksinasi yang dijalankan.
Wan Azizah turut bertanyakan strategi seterusnya kerajaan selain program vaksinasi dalam mengekang wabak COVID-19 yang menyebabkan banyak negeri melaporkan kes tinggi harian baharu.
Sesi Dewan Rakyat turut diteruskan dengan pertanyaan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Perdana Menteri mengenai status terkini Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Perjanjian Maaysia 1963.
Ini termasuk pelan tindakan yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan dalam mengembalikan hak-hak istimewa kepada Sabah dan Sarawak.
Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 adalah sidang Parlimen yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Oktober.