Dewan Rakyat lulus Usul Junjung Kasih Titah Yang Di-Pertuan Agong
Astro Awani
September 23, 2021 21:19 MYT
September 23, 2021 21:19 MYT
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong semasa merasmikan pembukaan Persidangan Parlimen pada 13 September lepas, dengan undian suara majoriti.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun meluluskan usul itu selepas menyaksikan lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju.
Usul itu dibahaskan selama enam hari mulai 14 September oleh 93 Ahli Parlimen yang mengambil bahagian, disusuli dengan penggulungan oleh 27 kementerian terlibat.
Antara isu yang dibahaskan meliputi usaha menangani pandemik COVID-19, pembangunan vaksin COVID-19 dan proses pemulihan negara akibat pandemik itu.
Isu pendidikan turut menjadi fokus merangkumi proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), jaringan akses internet di luar bandar dan hak kewarganegaraan.
Berlangsung hingga melepasi jam 9 malam tadi, penggulungan melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah mencetuskan perdebatan hebat antara beliau dengan blok pembangkang.
Antara perkara yang dibahaskan termasuk cadangan Rang Undang-Undang Antilompat Parti, Suruhanjaya Pilihan Raya dan pelaksanaan undi melibatkan individu berusia 18 tahun serta pendaftaran automatik.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung pada Isnin dengan tumpuan diberikan kepada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).