Rang Undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023 itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 25 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan.
Terdahulu Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata selepas lebih 16 tahun Akta 654 dikuatkuasakan, beberapa ruang penambahbaikan telah dikenal pasti bagi memastikan ia sentiasa relevan dengan perkembangan semasa dan keperluan masa hadapan industri perkhidmatan air negara.
Ini termasuk memantapkan tadbir urus SPAN agar lebih efisien dan meningkatkan keupayaan kawal selia agar penguatkuasaan yang lebih berkesan dapat dilaksanakan.
"Sejajar dengan inisiatif global dan nasional dalam merealisasikan pembangunan lestari, dasar-dasar baharu berasaskan ekonomi kitaran, kecekapan penggunaan, perlindungan pengguna dan penglibatan awam dan swasta telah diperkenalkan.
"Oleh yang demikian, penjajaran akta ini dengan dasar-dasar baharu penting untuk memastikan ia sentiasa relevan dengan perkembangan semasa serta keperluan masa hadapan industri perkhidmatan air negara," katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu bagi bacaan kali kedua.
Huang berkata melalui rang undang-undang itu juga, tempoh jawatan anggota suruhanjaya dipendekkan daripada 10 tahun kepada enam tahun.
"Tujuan pindaan ini adalah bagi mewujudkan fleksibiliti dalam urusan pelantikan anggota suruhanjaya yang berpengalaman dan tidak terikat dengan pelantikan sedia ada bagi suatu tempoh yang panjang," katanya.
Persidangan bersambung esok untuk pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA