Dewan Rakyat lulus RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020

Firdaus Azil
Julai 26, 2022 20:35 MYT
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju, selepas melalui perbahasan di peringkat Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 yang bertujuan mempertingkatkan integriti, mengurangkan salah laku dalam kalangan anggota polis dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan keselamatan itu.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju, selepas melalui perbahasan di peringkat Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa.
Terdahulu, sewaktu menggulung perbahasan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata kerajaan melihat pemasangan kamera litar bertutup (CCTV) dalam lokap, serta menyediakan pegawai perubatan swasta di penjara, dapat membantu mengurangkan risiko kematian tahanan.
“Bila kita membincangkan isu kematian dalam lokap, saya nak jelaskan pertamanya, baru-baru ini saya bawa isu ini dalam Jemaah Menteri, dan bersetuju untuk memberi peruntukan kepada polis kerana kita nak supaya siasatan dilakukan secepat mungkin.
"Bila kita tangkap OKT (orang kena tuduh) itu, biar mereka ini disiasat teliti oleh pegawai kesihatan. Dulu kita hanya benarkan pegawai KKM sahaja, tetapi kerana banyak kekangan, saya minta kita lantik panel doktor dari swasta, pastikan (pemeriksaan dan rawatan) dapat buat secepat mungkin.
“Cadangan itu telah diterima baik Jemaah Menteri, jadi apa bila diterima baik oleh Jemaah Menteri, saya juga mahu supaya CCTV juga akan dipasang di lokap, kerana masalah timbul apabila ada kematian, orang kena tuduh dipukul dan sebagainya,” katanya lagi.
Namun, Hamzah berkata, oleh kerana perbelanjaan itu agak besar, iaitu sekitar RM70 juta, maka ia ditangguhkan dahulu.
Dalam pada itu beliau berkata, jumlah kematian dalam tahanan antara 2015 hingga 2020 adalah 93 orang, satu jumlah yang beliau sifatkan agak kecil.
Katanya lagi, statistik menunjukkan majoriti yang meninggal dunia dalam tahanan adalah kerana sakit jantung, asma, ulser, hati, serta HIV.
“Pendarahan otak juga ada, gantung diri pun ada, gaduh sesama dalam lokap pun ada, tetapi dicederakan oleh polis buat masa ini tak ada,” tegasnya lagi.
Selain itu, Hamzah berkata, peruntukan dalam RUU berkenaan tidak bermaksud anggota polis wajib dilantik sebagai salah seorang daripada tujuh ahli suruhanjaya, sebaliknya hanya menyediakan ruang jika ada keperluan melantik pegawai polis.
#Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 #Hamzah Zainuddin #Dewan Rakyat #kematian dalam tahanan
;