Dewan Rakyat lulus RUU Perkhidmatan Parlimen
Madiha Abdullah
Mac 5, 2025 16:32 MYT
Mac 5, 2025 16:32 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sesi pergulungan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025 di Dewan Rakyat hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025.
Ringkasan AI
- Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perkhidmatan Parlimen 2025, yang akan memberi lebih autonomi kepada Parlimen dalam melaksanakan tugasnya.
- Tiga komitmen utama kerajaan Madani adalah penubuhan jawatankuasa parlimen bersama, keperluan MPP membentangkan laporan tahunan, dan penetapan kewajipan perkhidmatan parlimen untuk bertindak adil dan saksama.
- Rang undang-undang ini bertujuan mewujudkan Perkhidmatan Parlimen sebagai entiti berasingan daripada perkhidmatan awam, memastikan sistem demokrasi negara lebih matang dan bebas daripada pengaruh luar.
Rang undang-undang itu diluluskan sebulat suara selepas bacaan kedua dan ketiga di Parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memberi jaminan bahawa kebimbangan terhadap aspek autonomi parlimen yang dibangkitkan beberapa pihak akan diberi perhatian.
“Pertama, penubuhan sebuah jawatankuasa parlimen bersama yang berperanan memastikan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) hal ehwal petadbiran dan kewangan parlimen. Jawatankuasa ini akan memastikan segala keputusan berkaitan parlimen dibuat dengan lebih telus dan bertanggungajwab.
“Kedua, keperluan bagi MPP membentangkan laporan tahunan serta penyata kewangan secara berkala bertujuan meningkatkan tahap akauntabiliti serta memastikan parlimen berfungsi dengan lebih cekap dan berintegriti.
“Ketiga, penetapan kewajipan kepada semua perkhidmatan parlimen untuk bertindak secara adil saksama dan mengutamakan kepentingan parlimen.
“Tiga perkara saya sebut ini adalah komitmen kerajaan Madani selepas RUU ini diterima dan dibawa ke Dewan Negara, sebelum dikuatkuasa inilah antara perkara yang kita lakukan.
“Saya yakin komitmen yang diminta pelbagai pihak, kekhuatiran bagi memastikan tak ada salah guna kuasa, saya percaya komitmen ini akan dilaksanakan,” katanya.
RUU itu akan memberi lebih autonomi kepada Parlimen dalam melaksanakan tugasnya, sekali gus memastikan sistem demokrasi negara lebih matang dan bebas daripada pengaruh luar.
Akta Perkhidmatan Parlimen pertama kali diperkenalkan pada 1963, namun dimansuhkan pada 1992.
RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 yang bertujuan mewujudkan Perkhidmatan Parlimen sebagai entiti berasingan daripada perkhidmatan awam, telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 24 Februari lalu.