Dewan Rakyat lulus RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025

Bernama
Mac 3, 2025 18:53 MYT
Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) 2025 untuk perbelanjaan tambahan berjumlah RM20.19 bilion. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2024) 2025 bagi perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan berjumlah RM20,191,299,500 daripada Kumpulan Wang Disatukan.

Ringkasan AI
  • Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) 2025 untuk perbelanjaan tambahan berjumlah RM20.19 bilion.
  • Perbelanjaan tambahan ini melibatkan subsidi produk petroleum, pendidikan, perkhidmatan awam, dan kos sara hidup.
  • RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

RUU yang dibentangkan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025 melibatkan pengeluaran sejumlah wang yang tidak melebihi RM20,191,299,500 daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan bagi 2024.
Perbelanjaan tambahan tersebut melibatkan kegunaan peruntukan kepada Perkhidmatan Am Perbendaharaan iaitu sebanyak RM12,624,721,830, Kumpulan Wang Terkanun (RM3,151,419,300), Kementerian Pendidikan (RM1,763,672,170), Jabatan Perkhidmatan Awam (RM1,148,146,080) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (RM1,077,146,050).
Peruntukan itu juga bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (RM417,999,870) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (RM8,194,200).
Terdahulu, ketika penggulungan perbahasan RUU itu, Amir Hamzah berkata kerajaan telah membelanjakan lebih RM70 bilion untuk subsidi, insentif dan bantuan pada 2024 dengan komitmen perbelanjaan melebihi anggaran asal Belanjawan 2024 sebanyak RM58 bilion.
Beliau berkata antara sebab utama peningkatan itu adalah untuk menampung keperluan tambahan bagi subsidi produk petroleum iaitu RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).
"Belanjawan 2024 disediakan berdasarkan andaian penyasaran subsidi diesel dan RON95 akan dilaksanakan awal 2024," katanya.
Menurutnya, penjadualan penyasaran semula subsidi merupakan penyumbang utama kerajaan menampung komitmen tambahan RM12.1 bilion berbanding anggaran asal untuk subsidi produk petroleum sebanyak RM18.52 bilion.
Mengenai mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95 yang bakal dilaksanakan, Amir Hamzah berkata ia adalah selaras dengan penyasaran subsidi elektrik dan diesel yang melibatkan penetapan harga berperingkat.
Beliau berkata penyasaran subsidi elektrik mengguna pakai pendekatan iaitu pengguna elektrik dengan tahap penggunaan lebih tinggi dikenakan tarif elektrik yang lebih tinggi, manakala penyasaran subsidi diesel pula menetapkan harga jualan runcit di pam tanpa subsidi iaitu pada masa ini RM3.18 seliter.
"Subsidi kemudian disasarkan kepada sektor yang layak seperti kenderaan sektor logistik dengan menggunakan kaedah fleet card untuk terus membeli diesel pada harga bersubsidi RM2.15 iaitu RM1.00 lebih rendah, sementara pengguna yang layak pula menerima bantuan tunai BUDI MADANI," katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa ketika menggulung perbahasan RUU yang sama bagi kementerian itu berkata seramai 1.8 juta rakyat telah mendaftar MyDigital ID setakat Januari 2025, dengan sasaran 15 juta pengguna menjelang Julai tahun ini.
Beliau berkata bagi mencapai sasaran itu, kerajaan merangka langkah strategik termasuk mengintegrasikan sistem aplikasi kerajaan, menetapkan pendaftaran penjawat awam sebagai petunjuk prestasi utama (KPI), serta mempertimbangkan insentif dan subsidi kepada pengguna.
"Setakat ini 10 aplikasi telah diintegrasikan, 12 masih dalam proses, 12 lagi dalam perancangan dan lapan masih lagi dinilai," katanya.
Dalam pada itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali ketika menggulung perbahasan RUU tersebut bagi KPDN berkata beliau bercadang untuk membentangkan pelaksanaan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi mendapatkan pandangan yang lebih mendalam sebelum dibawa kepada Jemaah Menteri.
Beliau berkata sistem eCOSS penting sebagai langkah untuk memantau bekalan minyak paket bersubsidi bagi memastikan tiadanya berlaku ketirisan minyak masak.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
#Amir Hamzah Azizan #Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan #Belanjawan 2024 #Dewan Rakyat
;