Dewan Rakyat lulus RUU Kastam (Pindaan) 2024

Bernama
Julai 17, 2024 12:54 MYT
Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Tanjung Lim Hui Ying pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2024 yang bertujuan mempromosikan Pulau 1, Forest City di Johor Bahru, Johor bagi meningkatkan perkembangan ekonomi di kawasan tersebut dengan memasukkan peruntukan cukai khas ke dalam Akta 235 diluluskan persidangan Dewan Rakyat, pada Rabu.

Ringkasan AI
  • Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2024 diluluskan untuk mempromosikan Pulau 1, Forest City di Johor Bahru, bagi meningkatkan ekonomi kawasan tersebut dengan peruntukan cukai khas.
  • Pengunjung Pulau 1 mesti menunjukkan resit atau dokumen untuk membuktikan mereka berada sekurang-kurangnya 40 jam di pulau tersebut kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
  • Pulau 1 dijangka memberikan kesan ekonomi positif dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor hospitaliti, kewangan, dan peruncitan.

Rang Undang-Undang itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga dikemukakan Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Terdahulu, semasa penggulungan perbahasan RUU Kastam, beliau berkata Pulau 1 ialah sebuah pulau tambak yang telah diwartakan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.
"Pulau ini dihubungkan dengan sebuah jambatan sepanjang 600 meter. Oleh itu, ia menepati takrifan sebagai sebuah pulau. Jadi, Pulau 1 memang ditakrifkan sebagai sebuah pulau," katanya.
Mengenai isu ketelusan dan penguatkuasaan undang-undang di Pulau 1, Lim berkata pengunjung yang keluar dari pulau itu menuju ke Malaysia perlu mengemukakan apa-apa resit, invois atau dokumen yang membuktikannya berada tidak kurang daripada 40 jam di dalam Pulau 1 kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
"Ini adalah satu pantauan dan Pulau 1 dijangka memberi kesan ekonomi kepada kawasan setempat dan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor yang akan dibangunkan contohnya hospitaliti, kewangan dan juga peruncitan," katanya.
Dewan Rakyat juga meluluskan RUU Eksais (Pindaan) 2024, RUU Zon Bebas (Pindaan) 2024, RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2024 dan RUU Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2024.
Semasa penggulungan RUU Eksais (Pindaan) 2024, Lim berkata terdapat barang yang dikecualikan cukai di Pulau 1 iaitu minuman keras, coklat, komestik dan minyak wangi.
-- BERNAMA
#RUU Kastam Pindaan 2024 #Dewan Rakyat #Kementerian Kewangan #Lim Hui Ying