Dewan Rakyat lulus RUU Antigangguan Seksual selepas 10 tahun dirangka

Astro Awani
Julai 20, 2022 17:59 MYT
Ia diluluskan dengan pindaan selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun dan dibahas 26 Ahli Parlimen - Foto/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021 (AGS 2021) dengan lebih suara bersetuju selepas lebih 10 tahun ia dirangka.
Ia diluluskan dengan pindaan selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun dan dibahas 26 Ahli Parlimen.
RUU tersebut adalah suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi suatu hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual.
Selain itu, RUU akan turut menubuhkan Tribunal bagi Antigangguan Seksual; meningkatkan kesedaran tentang, dan mencegah berlakunya gangguan seksual serta untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya.
"Pembaharuan struktur melalui penggubalan akta khusus ini adalah perlu sebagai usaha mengurangkan jurang gender di antara lelaki dan wanita di Malaysia. Penyediaan persekitaran yang selamat pastinya akan membantu meningkatkan pengupayaan rakyat terutamanya kaum wanita dalam eknomi sosial dan politik, selari dalam memastikan mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara.
"RUU AGS 2021 ini adalah terpakai kepada mana-mana pihak dan tetap memberi pelindungan kepada sesiapa yang diganggu secara seksual tanpa mendiskriminasikan sesiapa. Perkara ini adalah merujuk kepda Fasal 7 AGS yang menyatakan Tribunal AGS mempunyai kuasa untuk mendengar apa-apa aduan gangguan seksual oleh mana-mana orang," kata Rina ketika menggulung RUU tersebut di Dewan Rakyat, hari ini.
Semalam, Rina ketika membentangkan RUU itu berkata Akta AGS 2021 memperuntukkan kuasa tribunal yang ditubuh antaranya membuat suatu award termasuk perintah bagi responden mengeluarkan suatu pernyataan permohonan maaf kepada pengadu.
Tribunal juga boleh memerintah responden membayar pampasan atau ganti rugi yang tidak melebihi RM250,000 bagi apa-apa kehilangan atau kerosakan yang ditanggung oleh pengadu.
Mengulas lanjut, Rina berkata pada peringkat awal pejabat Tribunal bagi Antigangguan Seksual akan ditubuhkan di Lembah Klang.
Walau bagaimanapun, ujar beliau tribunal tersebut boleh bersidang dalam satu atau lebih persidangan, pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat sebagaimana yang ditentukan oleh prosiding.
BERITA LANJUT MENYUSUL..
#gangguan seksual #Akta Gangguan Seksual #RUU Antigangguan Seksual 2021 #Dewan Rakyat
;