Dewan Rakyat lulus Rang Undang-Undang Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2021

Bernama
Julai 19, 2022 16:58 MYT
Rang undang-undang itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said.- Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2021 bagi memperkasa inisiatif pemenjaraan di luar tembok penjara melalui program pemulihan dalam komuniti.
Rang undang-undang itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said, dan dibahas empat Ahli Parlimen.
Ismail berkata rang undang-undang itu bertujuan meminda Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 (Akta 461) dan menggantikan Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021 (ODPKW).
Beliau berkata peruntukan dalam Akta 461 wajar diperkukuhkan selari perubahan semasa sistem perundangan daripada 'keadilan pembalasan' kepada 'keadilan pemulihan' bagi memberi peluang kedua kepada lebih ramai pesalah dengan menjalani hukuman serta pemulihan di luar penjara.
"Perintah Kehadiran Wajib (PKW) merupakan hukuman alternatif di luar tembok penjara yang dijatuhkan oleh mahkamah kepada pesalah melakukan kesalahan tertentu dan pesalah ini dikehendaki menjalankan kerja wajib untuk kepentingan masyarakat," katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu.
Ismail berkata program pemulihan akan diberikan secara berterusan oleh Jabatan Penjara bagi menerapkan nilai-nilai positif untuk melahirkan insan yang berguna kepada masyarakat dan negara serta mencegah perlakuan semula jenayah.
"Dengan wujudnya PKW ini, pesalah juga boleh meneruskan kehidupan harian tanpa menjejaskan kebajikan mereka dan keluarga semasa menjalani PKW ini. Selain itu, ia juga dapat mengurangkan kesesakan dalam penjara serta mengelak penularan penyakit berjangkit dalam penjara," katanya.
Selain itu, beliau berkata pindaan Seksyen 5 Akta 461 memberikan budi bicara kepada hakim atau majistret untuk menentukan hukuman PKW dengan mengambil kira latar belakang Orang Kena Tuduh (OKT) dan keadaan kesalahan itu dilakukan.
Pindaan pada seksyen itu juga memberikan mahkamah kuasa untuk membuat suatu PKW terhadap mana-mana pesalah yang disabitkan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dikenakan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun.
"Dengan pindaan setahun kepada tiga tahun pemenjaraan, ia lebih memberikan pilihan kepada mahkamah menggunakan budi bicara kehakiman untuk memberikan hukuman alternatif kepada hukuman pemenjaraan dalam kes-kes yang mahkamah sendiri berpendapat hukuman PKW adalah satu hukuman yang tepat dan wajar kepada seorang OKT," katanya.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #Rang Undang-Undang #Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah #Ismail Mohamed Said
;