Dewan Rakyat: Laporan rasuah terlalu sedikit, perlu dipertingkatkan - Razali

T K Letchumy Tamboo
Oktober 8, 2014 07:14 MYT
SPRM menerima 4,693 laporan dalam tempoh lima tahun lepas, dan daripada angka itu, 1,077 kes telah disiasat dan 847 penangkapan telah dibuat. -Gambar fail
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima sebanyak 4,693 laporan dalam tempoh lima tahun lepas, dan daripada angka itu, sebanyak 1,077 kes telah disiasat dan 847 penangkapan telah dibuat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim mengulas jumlah tangkapan dan dakwaan berhubung rasuah yang disifatkannya sebagai `perlu dipertingkatkan’.
“Saya menyeru kepada orang ramai, tampil ke hadapan bagi membantu SPRM dan kerajaan kerana jumlah aduan yang kita terima adalah sedikit.
“Tangkapan dan dakwaan adalah sedikit kerana laporan yang diterima daripada orang ramai adalah sedikit.
“Sebab itu kesedaran untuk orang ramai memberi maklumat kepada SPRM perlu dipertingkatkan,” kata Razali semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Razali turut berkata kuasa yang diberikan kepada SRPM di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, iaitu berkenaan siasatan rasuah penjawat awam, adalah memadai dan tidak perlu dipinda.
Razali menerangkan di bawah Seksyen 23, orang yang disiasat perlu menjelaskan dari mana datangnya harta berlebihan yang diperoleh.
Beliau juga berkata seksyen itu telah banyak digunapakai SPRM ketika membuat pendakwaan dan ia terpakai kepada semua, bukan semata-mata ke atas penjawat awam.
Razali berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, yang mendakwa kuasa SPRM masih terhad kerana tidak boleh menyiasat penjawat awam yang memiliki harta melebihi pendapatan.
Takiyuddin ingin tahu sekiranya kerajaan bercadang untuk meminda Akta SPRM untuk memperluas kuasa SPRM ke arah membanteras amalan rasuah.
Razali, semasa menjawab soalan tersebut, menjelaskan perbezaan akta pencegahan rasuah di Hong Kong berbanding di Malaysia.
“Jika dibandingkan dengan negara Hong Kong, kita perlu mengadakan siasatan dan dakwaan kepada seseorang invividu yang disiasat, dan mereka perlu menjelaskan dari mana datangnya harta yang berlebihan.
“Di Hong Kong, ada sahaja harta berlebihan, terus boleh diambil tindakan,” katanya.
Sebelum ini, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) pernah mencadangkan agar Seksyen 23 dipinda di samping mencari mekanisme terbaik bagi menangani isu berhubung pemberian kontrak, tender atau perolehan oleh seseorang anggota pentadbiran kepada anggota keluarga terdekat.
Seksyen 23 Akta SPRM 2009 memperuntukkan seorang penjawat awam tidak boleh menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya untuk mendapat suapan rasuah, atau tidak boleh terbabit dalam proses membuat keputusan sekiranya menjadi pengerusi atau ahli dalam sesuatu mesyuarat yang mempunyai kepentingan.
#Dewan Rakyat #Parlimen #Rasuah #Razali Ibrahim #SPRM