Dewan Rakyat: KWSP catat keuntungan RM46 juta hasil jualan enam aset runcit
Bernama
Mei 24, 2023 13:20 MYT
Mei 24, 2023 13:20 MYT
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjaya memperoleh keuntungan RM46 juta hasil jualan enam aset runcitnya di Lembah Klang dan Johor.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata selain itu, KWSP juga bercadang untuk menjual satu lagi aset runcitnya di Kelana Jaya kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Enam aset runcit yang telah dijual iaitu bangunan Giant Bandar Kinrara, bangunan Giant Putra Heights, bangunan Giant USJ, bangunan Giant Klang, bangunan Giant Ulu Klang dan bangunan Giant Plentong di Johor dengan keuntungan RM46 juta.
"Aset ini kita jual kepada Sunway Real Estate Investment Trust Berhad (Sunway REIT) yang 15.24 peratus dimiliki KWSP," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Kuala Terengganu) yang ingin mengetahui jumlah yang diperoleh daripada penjualan portfolio enam aset runcit KWSP di Lembah Klang dan Johor, dan adakah KWSP berhasrat melupuskan satu lagi aset runcit di Lembah Klang seperti dilaporkan selain perancangan pelaburan seterusnya.
Ketika menjawab soalan tambahan Ikmal Hisham sama ada KWSP bercadang melabur dalam bidang teknologi kewangan atau FinTech yang mencapai status Unicorn, Ahmad berkata Jawatankuasa Pelaburan akan membuat kajian atas cadangan tersebut.
Sementara itu, Ahmad turut memaklumkan jumlah aset KWSP secara keseluruhan setakat ini adalah RM1 trilion yang membabitkan pelaburan hartanah dalam dan luar negara.
"Di dalam negara jumlah pelaburan adalah RM11 bilion, antaranya bangunan KWSP di ibu pejabat dan negeri, manakala hartanah KWSP luar negara berjumlah RM30 bilion dengan separuh daripadanya di United Kingdom dan antara yang terbesar Battersea, projek yang begitu ikonik menjadikan jumlah aset hartanah sebanyak RM41 bilion.
"Setakat ini kita cukup menjaga kesemua pelaburan ini," katanya sebagai menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang ingin mengetahui tentang peratus pelaburan KWSP di pasaran domestik.
-- BERNAMA