Dewan Rakyat: KPWKM sedia 5 inisiatif tangani krisis jiwa, mental ketika COVID-19

Fauzi Suhaimi
Disember 1, 2020 10:27 MYT
KPWKM memandang serius terhadap krisis jiwa dan mental direkodkan semakin meningkat dalam kalangan masyarakat. - Gambar fail/KPWKM
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan beberapa inisiatif bagi menangani krisis jiwa dan mental khususnya ketika pandemik COVID-19.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, inisiatif itu meliputi khidmat aduan atas talian, sokongan psikologi tele-kaunseling, sokongan ekonomi, sokongan sosial dan pelaksanaan program berbentuk advokasi.
"KPWKM memandang serius terhadap krisis jiwa dan mental direkodkan semakin meningkat dalam kalangan masyarakat.
"Ini turut disokong melalui dapatan kajian tinjauan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada September lalu yang melaporkan 74.5 peratus daripada 3,500 responden bersetuju bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan kepada kesihatan mental," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Shaharizukirnain bin Abd. Kadir (Pas - Setiu) ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Dalam pada itu, Rina berkata, kajian tinjauan oleh KPWKM turut mendapati sokongan sosial adalah antara mekanisme untuk mengurangkan kadar tekanan yang dihadapi oleh mereka yang terkesan secara langsung oleh ancaman pandemik COVID-19.
"Sehubungan itu, kementerian bersama-sama dengan agensi kerajaan lain sentiasa komited untuk menyediakan perkhidmatan sokongan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat demi kemakmuran bersama," katanya.
#perintah kawalan pergerakan #Dewan Rakyat #COVID-19 #pandemik #PKP #wanita #kerajaan #kesihatan #Krisis Jiwa dan Mental #Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat #Datuk Seri Rina Mohd Harun
;