Dewan Rakyat: Ketatkan semula SOP COVID-19? Ini jawapan Khairy
Hasimi Muhamad
Julai 19, 2022 13:40 MYT
Julai 19, 2022 13:40 MYT
KUALA LUMPUR: Setakat ini, tiada keperluan untuk mengetatkan semula prosedur operasi standard (SOP) susulan peningkatan kes COVID-19 dalam negara, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri Kesihatan itu menegaskan, sebaliknya cukup sekadar memberi peringatan kepada orang ramai untuk mematuhi SOP sedia ada termasuk pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup.
"Namun demikian jika kes semakin meningkat, maka perlu kerajaan buat keputusan pertimbangan untuk perketatkan lagi SOP atau tidak.
"Tetapi saya harap pematuhan rakyat secara sukarela terhadap kawalan kendiri dapat dimantapkan tanpa perlu apa-apa paksaan dan penguatkuasaan melalui undang-undang yang dipakai selama dua tahun lepas," katanya pada sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Khairy (BN-Rembau) menjawab soalan tambahan Sabri Azit (Pas-Jerai) yang bertanyakan adakah kerajaan akan mengetatkan semula SOP bagi mengurangkan kes COVID-19, khususnya di kawasan tumpuan orang ramai.
Mengulas lanjut, Khairy berkata sejak April lalu KKM tidak lagi mengeluarkan sebarang notis kompaun atas kesalahan melanggar SOP selaras dengan peralihan negara ke fasa endemik.
Sebaliknya, katanya penekanan adalah kepada penguatkuasaan yang bersifat pendidikan.
"Ada beberapa sebab, pertamanya kita berpendapat bahawa dalam tahun ketiga pandemik ini tidak perlu lagi kita menghukum melalui kompaun dan sebagainya kepada mereka yang tidak mematuhi.
"Kedua, pegawai-pegawai yang diturunkan kuuasa oleh Menteri Kesihatan bagi Akta 342 pun sudah tidak ada lagi.
"Hanya (yang mempunyai kuasa mengeluarkan kompaun) adalah pegawai KKM ketika ini. Polis, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sebagainya tidak lagi ada kuasa mengikut undang-undang untuk mengeluarkan kompaun kepada individu yang tidak memakai pelitup muka dan sebagainya," tambah Khairy.