Dewan Rakyat: Kerajaan terus komited laksana dasar Borneonisasi - Maximus Ongkili

Firdaus Azil
Mac 24, 2022 03:43 MYT
Pelaksanaan dasar berhubung pengisian Ketua Jabatan Persekutuan di Negeri Sabah, Sarawak diberikan keutamaan supaya diisi rakyat negeri itu. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan terus komited untuk melaksanakan dasar Borneanisasi, seperti mana yang termaktub dalam Perkara 20 untuk Sabah, dan Perkara 18 untuk Sarawak, di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Maximus Ongkili berkata, setelah Majlis Khas MA63 ditubuhkan, cadangan berhubung pelaksanaan Borneanisasi pertama sekali telah dibentangkan dalam Jawatankuasa Kerja di bawah Majlis, iaitu Jawatankuasa Sosio Ekonomi (JKSE) pada 18 Februari 2022.
Dari segi perancangan, Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata, antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai keutamaan pengambilan dan peningkatan penyertaan anak-anak muda dari Sabah dan Sarawak dalam perkhidmatan awam persekutuan.
“Pelaksanaan dasar berhubung pengisian Ketua Jabatan Persekutuan di Negeri Sabah dan Sarawak diberikan keutamaan supaya diisi oleh Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak masing-masing,” katanya lagi.
Maximus berkata demikian ketika menjawab soalan Tambat @ Jugah Anak Muyang (Bebas - Lubok Antu) yang ingin mengetahui perancangan Kerajaan Persekutuan dalam mempercepatkan pelaksanaan Borneanisasi selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan Perkara 20 Perkara (Sabah) dan Perkara 18 (Sarawak).
Selain itu, beliau juga mahu tahu angka terkini pegawai dari Sabah dan Sarawak yang memegang jawatan Ketua Jabatan, Jabatan Persekutuan di kedua-dua negeri berkenaan.
Menjawab soalan itu, Maximus berkata, terdapat 109 perjawatan Ketua Jabatan di Jabatan Persekutuan di negeri Sabah, dan 49.5 peratus, atau 54 perjawatan diisi oleh orang Sabah.
Bagi Sarawak pula, terdapat 117 perjawatan Ketua Jabatan di Persekutuan di negeri itu, dan 64 peratus atau 68 perjawatan diisi oleh orang Sarawak.
“Perkara berkaitan Borneanisasi ini termasuklah isu mengenai kelayakan elaun-elaun kepada anggota perkhidmatan awam yang lebih setara dan saksama, seperti elaun perumahan bagi anggota perkhidmatan awam dari Sabah dan Sarawak, yang berkhidmat di Semenanjung Malaysia turut dibincang di dalam JKSE,” katanya lagi.
#Dewan Rakyat #Borneanisasi #Maximus Ongkili #Perjanjian Malaysia 1963