Dewan Rakyat: Kerajaan proaktif tangani isu keganasan rumah tangga, gangguan seksual

Firdaus Azil
November 17, 2020 11:55 MYT
Sehingga November 2020, sebanyak 97,576 panggilan diterima melalui talian Kasih 15999 dan 62,127 pesanan diterima melalui aplikasi Whatsapp. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat sedang merangka program khusus bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya melibatkan keganasan rumah tangga dan gangguan seksual.
Antaranya termasuk, memperkemas sistem sokongan dan sistem perlindungan bagi memastikan tindakan yang lebih komprehensif, kata Timbalan Menteri Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, kata Ahli Parlimen Rantau Panjang itu, kementeriannya turut mengadakan kerjasama strategik dengan kaunselor di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia.
"Di bawah kementerian ada Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga, yang mana Menteri telah mengadakan pertemuan dengan agensi seperti polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), untuk membincangkan pelbagai maklumat berkaitan isu kepentingan wanita.
“Kita juga mengadakan kerjasama dengan kaunselor dan NGO untuk meningkatkan kesedaran, membantu masyarakat menghindari isu, terutamanya penderaan, keganasan rumah tangga dan gangguan seksual,” katanya.
Siti Zailah berkata demikian menjawab soalan tambahan Kasthuriraani Patto (DAP-Batu Kawan) yang ingin mengetahui secara khusus langkah kerajaan menangani isu gangguan seksual.
Terdahulu, Kasthuriraani juga bertanya mengenai bilangan panggilan yang diterima Talian Kasih 15999 dari Januari 2020 sehingga kini, mengikut jenis panggilan.
Menjawab soalan itu, Siti Zailah berkata, sehingga November 2020, sebanyak 97,576 panggilan diterima melalui talian 15999 dan 62,127 pesanan diterima melalui aplikasi whatsapp.
Keseluruhannya tahun ini, dari Januari sehingga 14 November, Talian Kasih telah menerima 159,703 panggilan.
“Segala pertanyaan mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh kementerian akan dijawab di peringkat Talian Kasih.
"Manakala, segala butiran aduan dan permohonan akan disalurkan ke Jabatan dan Agensi di bawah kementerian untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.
#Dewan Rakyat #Siti Zailah Mohd Yusoff #Kasthuriraani Patto #batu kawan #gangguan seksual #keganasan rumah tangga #Talian Kasih #keluarga #Parlimen #polis #wanita #kerajaan #keganasan #SKMM #NGO #panggilan telefon
;