Dewan Rakyat: Kerajaan pertimbang isytihar darurat di DUN Bugaya, Parlimen Gerik

Fauzi Suhaimi
November 24, 2020 11:05 MYT
Takiyuddin berkata, SPR turut berhadapan kesukaran mendapatkan petugas pilihan raya berikutan kebimbangan penularan wabak tersebut, berdasarkan pengalaman di pusat mengundi di Batu Sapi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengisytiharkan darurat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah dan Parlimen Gerik di Perak sepertimana dilaksana di Parlimen Batu Sapi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pertimbangan itu bagaimanapun bergantung kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Kerajaan hari ini telah berusaha sedaya upaya membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini dengan menggunapakai Akta Pencegahan dan Kawalan Berjangkit 1988 (Akta 342) dan pendekatan pengurusan kesihatan awam.
"Namun, negara masih berhadapan dengan penularan wabak COVID-19.
"Semua sedia maklum, negara berhadapan dengan penularan wabak COVID-19 yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.
"Sehubungan itu, bagi mengelak perkara sama berlaku, kerajaan memutuskan pelaksanaan Proklamasi Darurat Perkara 150 (1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan untuk dilaksanakan di Parlimen Batu Sapi bagi menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) berkenaan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Takiyuddin berkata demikian dalam Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri, menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (UMNO-Pontian) yang mahu tahu sama ada kerajaan bercadang menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat di DUN Bugaya dan Parlimen Gerik.
Ahmad juga minta dinyatakan rasional jika proklamasi darurat dilaksanakan dan membangkitkan persoalan berkenaan kekangan terhadap hak demokrasi pengundi di kawasan berkaitan.
Dalam pada itu, Takiyuddin (Pas-Kota Bharu) berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut berhadapan dengan kesukaran mendapatkan petugas pilihan raya berikutan kebimbangan penularan wabak tersebut, berdasarkan pengalaman di pusat mengundi di Batu Sapi.
"Dalam hal ini, situasi sama juga dijangka akan berlaku di DUN Bugaya dan Parlimen Gerik.
"Di samping itu, KKM memaklumkan terdapat kekangan untuk menyediakan pegawai dan kakitangan kesihatan bagi mengendalikan pengundi di khemah bergejala.
"Ini kerana wujud keperluan terhadap pegawai dan kakitangan kesihatan yang tinggi di hospital dan klinik," jelasnya.
#Ahmad Maslan #Takiyuddin Hassan #Dewan Rakyat #Yang di-Pertuan Agong #Suruhanjaya Pilihan Raya #KKM #pilihan raya kecil #COVID-19 #darurat #DUN Bugaya #Batu Sapi #Parlimen Gerik
;