Dewan Rakyat: Kerajaan akan usul penggantungan enam bulan terhadap Wan Saiful

Ridauddin Daud
Mac 5, 2024 10:15 MYT
Usul tersebut dijangka dicadangkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat menggantung Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN - Tasek Gelugor) selama enam bulan kerana mendakwa Perdana Menteri sebagai seorang pemimpin korup dan menyalahgunakan kuasa.
Usul tersebut dijangka dicadangkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berdasarkan aturan urusan mesyuarat dan usul-usul pada Selasa.
Usul itu akan dikemukakan selepas sesi soalan jawab lisan yang dijangka tamat kira-kira jam 12 tengah hari.
Wan Saiful dikatakan membuat dakwaan itu ketika membahaskan titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 28 Februari lalu.
Menurut usul itu, Wan Saiful didakwa mengeluarkan sangkaan jahat ke atas Anwar, walaupun Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah berulang kali mengarahkan supaya tidak membuat kenyataan sedemikian.
"Bahawa Yang Berhormat Tasek Gelugor telah menggunakan nama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi mempengaruhi Majlis Mesyuarat.
"Bahawa kenyataan yang dibuat Yang Berhormat Tasek Gelugor merupakan satu dakwaan yang sangat serius dan menyalahi hak dan keistimewaan sebagai Ahli Parlimen serta merupakan satu penghinaan kepada Dewan ini," menurut usul berkenaan.
#Anwar Ibrahim #Wan Saiful Wan Jan #Zahid Hamidi #gantung
;