Dewan Rakyat kecoh timbalan menteri tidak jawab soalan

Astro Awani
November 25, 2021 18:16 MYT
Dewan Rakyat kecoh seketika apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang mendakwa Ahmad Hamzah tidak menjawab soalan yang dibangkitkan. - Gambar Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Sebaik sahaja persidangan sesi petang bermula, Dewan Rakyat kecoh seketika apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang mendakwa Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah tidak menjawab soalan yang dibangkitkan.
Episod kekecohan itu tercetus sebaik sahaja Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said menegur Ahmad bahawa masa yang diberikan untuk beliau menjawab hampir tamat
Lantas Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang tidak berpuas hati bangun meminta Ahmad memberikan jawapan secara bertulis.
"Mohon timbalan menteri beri jawapan secara bertulis sebab banyak soalan yang kita ajukan tidak dijawab,” katanya.
Situasi semakin 'panas' apabila Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) bangkit mencelah dengan meminta penjelasan mengenai kenaikan harga sayur dan ayam belum dijawab.
“Saya tanya soalan harga sayur, ayam naik. Timbalan menteri enggan jawab. Itulah sikap timbalan menteri, sedangkan soalan ini begitu penting.
“Saya sangat dukacita kerana kerajaan enggan jawab soalan yang cukup penting. Kalau berani jawab sekarang,” katanya.
Kenyataan Hon Wai itu menyebabkan beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan bangkit mempertahankan tindakan Ahmad untuk tidak menjawab memandangkan kesuntukan masa.
#Azalina Othman #Dewan Rakyat #kecoh #tidak menjawab soalan
;