Dewan Rakyat: Kadar pengangguran negara akan terus turun menjelang 2021

Firdaus Azil
Disember 9, 2020 11:49 MYT
Saravanan berkata, pelbagai pakej rangsangan disediakan kerajaan bagi membantu mengurangkan impak negatif pandemik ini terhadap ekonomi, termasuk pasaran buruh. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran negara pada Disember 2020 dijangka akan menyaksikan penurunan kepada 4.5 peratus.
Trend itu dijangka berterusan sehingga tahun 2021, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan memaklumkan kepada Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, data terkini Survei Tenaga Buruh (STB) untuk September menunjukkan kadar pengangguran menurun kepada 4.6 peratus, dengan bilangan penganggur seramai 737,500 orang.
Berdasarkan statistik itu juga, Ahli Parlimen Tapah itu berkata, kadar pengangguran tertinggi 2020 dicatatkan pada Mei, iaitu sebanyak 5.3 peratus dengan bilangan penganggur kira-kira 826,000 orang.
“Pelbagai pakej rangsangan disediakan kerajaan bagi membantu mengurangkan impak negatif pandemik ini terhadap ekonomi, termasuk pasaran buruh.
“Penambahbaikan berterusan dapat diperhatikan dalam kedudukan tenaga buruh walaupun pada tahap sederhana.
"Perkara ini dicerminkan oleh pertumbuhan positif bulan ke bulan dalam guna tenaga sejak Jun 2020, serta kadar pengangguran yang menunjukkan trend penurunan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang ingin mengetahui jumlah pekerjaan terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kali kedua bermula 14 Okt lalu.
Selain itu, Ahmad Jazlan juga ingin mengetahui sejauh mana pelaksanaan PKPB memberi impak kepada industri pekerjaan dan ekonomi buruh secara menyeluruh.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata, berdasarkan STB, pekerja-pekerja dalam sektor penerbangan, perhotelan dan pelancongan merupakan yang paling terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Data kementerian menunjukkan jumlah pemberhentian pekerja yang dilaporkan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO sehingga 27 Nov 2020 adalah 99,696 orang.
"Sementara itu, seramai 120,296 orang daripada 372,934 pencari kerja pula telah berjaya mendapat pekerjaan.
“Negara telah melalui 7 bulan PKP bagi membendung penyebaran pandemik COVID-19.
"Sejak 10 Jun 2020, PKP Pemulihan membenarkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi walaupun perniagaan tidak dapat beroperasi pada paras optimum,” tambahnya.
#kadar pengangguran #pandemik #COVID-19 #Dewan Rakyat #M Saravanan #Parlimen #ekonomi #kerajaan #pelancongan #penerbangan #rakyat #menteri #industri pekerjaan #buruh #Survei Tenaga Buruh #penganggur #PKPB #PKP #pakej rangsangan
;