Dewan Rakyat: Isu B40, OKU, Harimau Malaya jadi tumpuan

Astro Awani
November 10, 2021 22:39 MYT
Penggulungan Bajet 2022 oleh kementerian-kementerian berkaitan dijadual berlangsung selama empat hari bermula 15 Nov. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini antara lain akan mengupas isu berkenaan inisiatif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk membantu golongan B40 yang terkesan akibat COVID-19 memulakan semula perniagaan mereka.
Menurut aturan urusan mesyuarat, persoalan itu akan diajukan Cha Kee Chin (PH-Rasah) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Beliau dalam masa yang sama turut bertanyakan dari segi apakah Bajet 2022 akan memanfaatkan golongan B40 yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Turut menjadi tumpuan adalah pertanyaan Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan kelebihan inisiatif baharu MyDaftar OKU yang dilancarkan baru-baru ini dan adakah inisiatif ini dapat menyumbang kepada peningkatan pendaftaran OKU di Malaysia.
Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) akan bertanyakan mengenai usaha bagi memastikan Harimau Malaya menjadi spesis ikonik negara dan tidak pupus kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli.
Sementara itu, Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan usaha-usaha dan perancangan kementerian untuk menurunkan harga runcit ayam.
Sasaran dan kejayaan berkaitan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) serta menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan turut ditanyakan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Di samping itu, Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) pula meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah usaha-usaha kerajaan dalam meningkatkan 'softskill' pekerja ekonomi gig untuk memastikan tahap pekerjaan dan gaji mereka dapat terus ditingkatkan.
Selesai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat akan menyambung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Okt lepas.
Setakat semalam, ramai Ahli Parlimen daripada blok pembangkang dan kerajaan serta bebas mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat dasar Bajet 2022 yang bermula 1 Nov lepas.
Penggulungan Bajet 2022 oleh kementerian-kementerian berkaitan dijadual berlangsung selama empat hari bermula 15 Nov.
Dewan Rakyat akan bersidang hingga 16 Dis.
#Dewan Rakyat #COVID-19 #B40 #OKU