Dewan Rakyat: Hannah Yeoh kemuka fakta isu 'ketidakstabilan politik jejas prestasi atlet'
Hasimi Muhamad
Mei 25, 2023 11:31 MYT
Mei 25, 2023 11:31 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mempertahankan pendiriannya bahawa ketidakstabilan politik negara sejak empat tahun lalu menjadi salah satu faktor yang menjejaskan prestasi sukan negara, termasuk di Sukan SEA Kemboja 2023 baru-baru ini.
Mengemukakan fakta di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Segambut itu berkata, dalam tempoh tersebut, berlaku tiga pertukaran Perdana Menteri dan menteri yang menyebabkan perubahan bajet, ahli lembaga pengarah, serta fokus.
Keadaan itu, jelas beliau, antaranya menyebabkan seramai 220 atlet tidak dapat meneruskan latihan kerana tiada peruntukan khusus bagi pelaksanaan program latihan senior di bawah program Podium.
"Saya nak petik satu peristiwa sahaja khas untuk ini (kesan ketidakstabilan politik).
"Dalam butiran Belanjawan 2022 yang dibentangkan pada Oktober 2021, tiada menyatakan peruntukan yang diberikan untuk program Podium bagi tahun 2022.
"Ini menyebabkan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa menyusun semula program persediaan atlet ke arah temasya sukan utama bagi tahun 2022.
"Kesannya, seramai 220 tidak dapat meneruskan latihan memandangkan tiada peruntukan khusus diberikan untuk pelaksanaan program latihan senior di bawah program Podium.
"Pada masa sama, MSN terpaksa agih dan menggunakan peruntukan dalaman bagi memastikan elaun latihan atlet dan gaji jurulatih diteruskan tanpa penangguhan untuk tidak menjejaskan prestasi atlet yang sedang dalam latihan.
"Keadaan ini berlarutan bagi tempoh dua bulan dari Januari hingga Februari 2022," katanya dalam di Dewan Rakyat pada Khamis.
Hannah menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang memintanya menjelaskan kenyataan bahawa ketidakstabilan politik punca pencapaian buruk di Sukan SEA Kemboja 2023.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, setiap kali berlaku perubahan dalam pentadbiran kerajaan, keadaan tersebut menjejaskan aktiviti latihan kerana terdapat atlet yang perlu ke luar negara.
Hannah menambah, beliau tidak mahu meletakkan kesalahan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan berikutan kegagalan para atlet, kerana ia disifatkan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
"Saya ada bincang dengan atlet dan persatuan, betul mereka menyatakan dalam empat tahun ini (mereka terkesan), sementara kita sibuk di sini berpolitik dan negara-negara jiran maju ke depan.
"Kita mesti memperakui dalam empat tahun lepas selepas Langkah Sheraton, memang ada banyak usaha yang kerajaan telah lakukan pada masa itu untuk membantu ekonomi dan pendidikan, (tetapi) semuanya terganggu kerana ketidakstabilan politik.
"Itu adalah fakta," tambah Hannah.
Sementara itu, dalam memastikan ketidakstabilan politik atau pertukaran menteri tidak menjejaskan sektor sukan negara, Hannah berkata KBS telah mewujudkan Jawatankuasa Road To Gold yang antaranya dianggotai oleh bekas atlet dan Persatuan Sukan Kebangsaan.
"Kalau ada sekali lagi (perubahan) tetapi saya percaya dengan majoriti kuat di Parlimen, tidak akan berlaku dalam jangka masa lima tahun ini.
"Kita boleh bekerjasama dengan Majlis Olimpik Malaysia dan bersama-sama membantu atlet kita berlatih dan mendapat infrastruktur yang mencukupi dengan adanya pengerusi bersama Majlis Olimpik Malaysia.
"Walaupun tak ada menteri, jawatankuasa itu tetap berjalan untuk pastikan tidak ada lagi gangguan kepada latihan atlet kita," ujarnya.