Dewan Rakyat: Didakwa gagal terajui kementerian, Mat Sabu didesak letak jawatan menteri

Ridauddin Daud
Oktober 11, 2023 15:21 MYT
Zulkafperi (kiri) mendakwa Mohamad (kanan) tidak kompeten terutamanya dalam menyelesaikan isu bekalan makanan. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Datuk Zulkafperi Hanapi (PN - Tanjong Karang) mendesak Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk meletakkan jawatan sebagai menteri.
Beliau mendakwa Ahli Parlimen Kota Raja itu tidak kompeten terutamanya dalam menyelesaikan isu bekalan makanan.
Menurutnya, Mohamad "hanya dipandu" kakitangan kementerian dan bukannya "memandu" kementerian tersebut.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 di Dewan Rakyat pada Rabu.
"Ketua parti bukanlah kriteria yang melayakkan secara automatik untuk diangkat sebagai menteri.
"Ini jelas dengan kegagalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang kelihatan dipandu dan bukannya memandu kementeriannya.
"Ini terserlah dengan isu telur dan sekarang isu bekalan beras putih tempatan.
"Jadi saya mohon maaf menteri, Kota Raja, untuk meletakkan jawatan menteri.
"Atau Perdana Menteri perlu menggantikan beliau dengan seorang yang lebih berkelayakan bagi menerajui kementerian penting ini dan menyelesaikan isu makanan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fidkal 2023 di Dewan Rakyat pada Rabu.
#Dewan Rakyat #Mohamad Sabu #letak jawatan #Zulkafperi Hanapi
;