Dewan Rakyat bertafakur seminit memperingati tragedi MH370
T K Letchumy Tamboo
Mac 8, 2016 12:40 MYT
Mac 8, 2016 12:40 MYT
Sidang Dewan Rakyat bertafakur selama seminit bagi memperingati tragedi kehilangan pesawat MH370 yang genap dua tahun hari ini.
Sesi tafakur itu diketuai oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Hari ini, satu kenyataan sementara mengenai MH370 dijangka dikeluarkan para penyiasat Malaysia yang terdiri daripada pakar-pakar daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Malaysia Airlines.
Sebuah laporan interim juga akan dikeluarkan hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Abdul Aziz Kaprawi berkata satu objek yang ditemui di pulau La Reunion kemungkinan adalah daripada pesawat MH370.
"Mana-mana serpihan ditemui di kawasan itu buat sementara waktu, mungkin, adalah daripada MH370 sehingga ia disahkan kemudian," katanya semalam.
Serpihan pesawat itu ditemui di Pulau Reunion, milik Perancis yang terletak di Lautan Hindi, Khamis lepas.
Serpihan itu ditemui oleh Johnny Begue ketika dia keluar berjoging di tepi pantai, orang yang sama menemui flaperon iaitu serpihan komponen pesawat semasa membersihkan pantai pada Julai tahun lepas.
Minggu lepas, media juga melaporkan penemuan satu objek dipercayai sebahagian daripada pesawat yang hilang di tebing pasir di Mozambique berdekatan Pulau La Reunion.
Satu pasukan DCA dijadual mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawatan mereka dari Mozambique di negara Afrika Selatan itu untuk berbincang mengenai penemuan satu objek dan membawa balik serpihan berkenaan.
Pesawat Boeing 777 Penerbangan MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal hilang pada awal pagi 8 Mac 2014, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).