Dewan Rakyat bersidang 32 hari, fokus Bajet 2023

Astro Awani
September 29, 2022 09:57 MYT
Mengikut takwim asal di laman web Parlimen, mesyuarat ketiga penggal kelima dijadualkan bermula 26 Oktober hingga 15 Disember 2022. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Rakyat akan berlangsung selama 32 hari, bermula 3 Oktober hingga 29 November, dengan tumpuan utama pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini.
Dalam satu kenyataan, Parlimen mengumumkan mesyuarat ketiga penggal kelima bagi Dewan Negara berlangsung 11 hari mulai 21 November hingga 7 Disember 2022.
Mesyuarat ketiga penggal kelima diawalkan daripada tarikh takwim asal bagi membolehkan pembentangan bajet yang ditetapkan pada 28 Oktober diadakan tiga minggu lebih awal seperti diputuskan mesyuarat kabinet 26 Ogos lalu.
Mengikut takwim asal di laman web Parlimen, mesyuarat ketiga penggal kelima dijadualkan bermula 26 Oktober hingga 15 Disember 2022 yang mana Dewan Rakyat akan bersidang selama 31 hari untuk membahaskan Bajet 2023.
Dengan perubahan tarikh mesyuarat itu, timbul spekulasi menyatakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan lebih awal, mungkin November ini selepas pembentangan Bajet 2023 diluluskan.
#Parlimen #Dewan Rakyat #Bajet 2023 #PRU15