Dewan Rakyat: Belanjawan 2021 untuk KKM lulus walaupun diserang 'rakan sendiri'

Firdaus Azil
Disember 9, 2020 13:54 MYT
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi sewaktu menggulung, cuba dicelah beberapa kali oleh wakil BN, PH, GPS, dan Warisan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan Malaysia diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun ketika memutuskan perkara itu berkata, lebih suara Ahli Parlimen bersetuju dan tiada permohonan mana-mana pihak untuk undi belah bahagi.
Bagaimanapun, proses penggulungan di peringkat jawatankuasa itu nyata bukan mudah buat Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali apabila beliau dicelah dan ditekan oleh wakil rakyat dari Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Parti Warisan Negara.
Keadaan itu memaksa Azhar bersikap tegas dan memohon Ahli-ahli Parlimen agar diberi laluan yang sewajarnya kepada Dr Noor Azmi (Bersatu-Bagan Serai) untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan.
Antara persoalan yang dibangkitkan ialah penstrukturan semula dana khusus untuk ubatan, farmasi dan nefrologi di bawah butiran program khas, pengurangan dana untuk kesihatan mental, serta pengurangan dana KKM secara keseluruhan untuk 2021.
BERITA LANJUT MENYUSUL
#Belanjawan 2021 #Kementerian Kesihatan #Dr Noor Azmi Ghazali #Timbalan Menteri #Dewan Rakyat #Parlimen #undang-undang #menteri
;