Dewan Rakyat bahas usul berkait PRN Sarawak, tiket kapal terbang mahal
Harits Asyraf Hasnan
Disember 1, 2021 12:33 MYT
Disember 1, 2021 12:33 MYT
KUALA LUMPUR: Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun hari ini membenarkan usul berkepentingan orang ramai menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen itu akan dibahaskan di Kamar Khas Dewan Rakyat jam 2.30 petang ini selepas ia memenuhi syarat di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1).
Dr Kelvin dalam usulnya berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih tidak melakukan pembaharuan dan reformasi yang sepatutnya untuk membolehkan pemilih mengundi dalam pilihan raya dengan lebih senang dan selamat terutamanya rakyat Sarawak yang tinggal di Semenanjung Malaysia dan Sabah.
"Harga tiket kapal terbang balik ke Sarawak terutamanya berdekatan dengan tarikh pilihan raya telah melambung tinggi dan ini akan menghalang rakyat Sarawak untuk balik dan menunaikan tanggungjawab demokratik mereka.
"Pembaharuan seperti “absente voting” di mana rakyat Sarawak boleh mengundi di tempat mengundi khas di bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia ataupun membenarkan kaedah undi secara pos bagi mereka yang tinggal di luar Sarawak seharusnya dilakukan secepat mungkin untuk memastikan semua dapat turut serta dalam amalan demokrasi yang sihat ini," katanya ketika membacakan usul tersebut di Dewan Rakyat hari ini.
Menerusi usul tersebut, Dr Kelvin turut berpendapat bahawa isu tersebut menepati parameter yang diperlukan iaitu ia adalah perkara yang tertentu kerana melibatkan satu isu yang terperinci di mana ia melibatkan penjelasan dari pihak Perdana Menteri yang bertanggungjawab atas SPR.
Tambahnya, pihak Perdana Menteri juga perlu menyatakan sebab kenapa reformasi atau pembaharuan itu tidak dilakukan sebelum ini dan bagaimana ia dapat dilakukan secepat mungkin termasuk pindaan undang-undang di Parlimen.
"Selain itu, ia juga melibatkan pihak Kementerian Pengangkutan untuk menjelaskan perancangan kerajaan untuk mengurangkan harga tiket kapal terbang untuk memastikan tiada halangan untuk orang untuk mengundi.
"Kedua, ini adalah satu isu yang harus disegerakan kerana PRN Sarawak akan berlangsung dalam masa tiga minggu lagi dan sebarang pembaharuan atau pindaan undang-undang haruslah dilakukan dengan kadar segera agar sempat diimplementasikan sebelum PRN Sarawak 2021.
"Akhirnya, ini satu isu yang memang melibatkan kepentingan orang ramai kerana ini bukan sahaja melibatkan PRN Sarawak, tetapi juga pilihan raya akan datang di mana bagaimana SPR seharusnya mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan reformasi terhadap sistem sedia ada bagi menjamin supaya hak pengundi untuk mengundi dengan senang dan selamat terutama dalam keadaan pandemik COVID-19 masih menular," katanya.
Justeru, beliau berpandangan, adalah wajar untuk Dewan Rakyat membincangkan perkara itu supaya satu solusi dapat dicapai untuk menyelesaikan masalah tersebut.