Dewan Rakyat: APMM Sabah didakwa 'tidak bekerja'
Wan Syamsul Amly
Oktober 14, 2014 17:00 MYT
Oktober 14, 2014 17:00 MYT
"Ada Menteri kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sangat aktif bekerja, bercerita pasal penyeludupan diesel, berapa banyak tangkapan dibuat dan sebagainya selama ini tetapi makanan seperti barang subsidi untuk orang Sabah 'dimakan' oleh orang Indonesia."
Itu keluhan Ahli Parlimen BN-Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh yang mendakwa APMM gagal menjalankan tugas dan 'menutup mata' terhadap aktiviti penyeludupan makanan bersubsidi kerajaan di kawasannya.
"Ini khususnya melibatkan perairan di Sabah.
"Makanan yang diseludup itu dijual kepada negara seberang (Indonesia) dan tidak langsung disalurkan kepada rakyat Sabah.
"Bukan kita tidak memberi laporan; kita sudah kenal pasti empat tempat penyeludupan, namun APMM seolah-olah tutup mata," soalnya kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Tambah Abdul Ghapur, APMM disifatkan tidak bekerja dan kemungkinan ada yang cuba disembunyikan jabatan itu sendiri mengenai isu berkenaan.
Razali kemudian menjawab, pihaknya akan mengambil tindakan segera terhadap isu berkenaan.
"Ini dakwaan yang sangat serius. Kita jamin isu ini akan diambil tindakan pantas.
"Jika ia berterusan, pasti akan berlaku pembaziran," ujarnya.
Bagaimanapun jelasnya, terdapat beberapa jabatan lain yang turut bertanggungjawab untuk membanteras isu itu termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Unit Pecegahan Penyeludupan (UPP).
Sementara itu, ketika menjawab soalan asal Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) mengenai langkah yang akan dirangka APMM untuk memerangi aktiviti penyeludupan, Razali berkata, isu itu sudah di dalam perhatian pihak berkenaan.
Isu penyeludupan rokok, mercun, petrol dan diesel, serta barangan kawalan seperti makanan, daging beku, minyak masak, tepung dan gula di kawasan pantai timur Sabah menjadi masalah yang masih tidak dapat dibendung sejak dahulu walau pun pelbagai operasi dilakukan pihak berkuasa.