Dewan Rakyat: Ahli Parlimen HSO kena pakai PPE
Hasimi Muhamad
September 14, 2021 10:52 MYT
September 14, 2021 10:52 MYT
KUALA LUMPUR: Mana-mana ahli Parlimen yang sedang menjalani tempoh perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) diwajibkan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) bagi menghadiri sesi pengundian di Dewan Rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata, langkah tersebut pernah dilaksanakan pada persidangan 14 dan 15 Disember lalu, bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) di bangunan Parlimen ditambah baik bagi mengekang penularan wabak COVID-19 serta memastikan persidangan Dewan Rakyat berjalan dengan selamat.
Selain itu, Azhar berkata, sistem penggiliran turut disyorkan melibatkan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, bagi setiap satu jam, sebagai langkah berjaga-jaga.
"Sehubungan itu, di atas meja Yang Berhormat diletakkan surat untuk menjalani ujian RTK air liur secara berkala sepanjang tempoh persidangan ini.
"Ujian untuk ahli-ahli Yang Berhormat ini akan dijalankan di Dewan Bankuet Parlimen pada setiap hari Isnin dan Rabu. Ujian pertama akan bermula esok (Rabu).
"Ujian mengambil masa selama 20 minit dan dibuat apabila Yang Berhormat tiba di Parlimen. Oleh itu, dimohon agar Ahli-ahli Parlimen dapat hadir awal di Dewan Bankuet bagi mengelakkan kelewatan urusan Dewan," katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Sementara itu, bagi pegawai pula, Azhar berkata, ujian sama akan dijalankan di Dewan Serbaguna.
Perkara tersebut, menurutnya, antara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Dewan semalam, yang dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau); Alice Lau Kiong Yien (PH-Lanang); Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai); dan Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut).
Azhar juga turut mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya tidak menanggalkan pelitup muka ketika bercakap atau berbahas serta menggalakkan pemakaian pelitup muka berganda.
“Pengurusan Parlimen Malaysia juga membuat penambahbaikan kualiti udara.
"Saya berharap melalui penambahbaikan kualiti udara di dalam bangunan Parlimen dan pematuhan ketat SOP oleh semua warga Parlimen, ia dapat melindungi kita daripada wabak penyakit ini,” katanya.
Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 bersambung hari kedua hari ini, dijangka memberi tumpuan kepada pemilihan calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Kerusi Timbalan Speaker kosong selepas Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said meletak jawatan pada 23 Ogos lalu.
Ikuti semua kandungan ini di laman mikro Sisi TV Parlimen serta di semua platform media sosial Astro AWANI sepanjang sidang Parlimen ini berlangsung.