Dewan Rakyat: 38 peratus isi rumah miskin tegar di Sabah - Rafizi

Hasimi Muhamad
Julai 17, 2024 03:23 MYT
Rafizi berkata setakat ini bilangan isi rumah di bawah miskin tegar di Sabah merekodkan sebanyak 38 peratus atau 6,937 daripada jumah keseluruhan 18,445 isi rumah di Malaysia - Foto fail/JaPen
KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi memaklumkan risiko isi rumah di Sabah untuk berada dalam kategori miskin tegar disifatkan sebagai lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain di seluruh negara.
Menterinya, Rafizi Ramli berkata setakat ini bilangan isi rumah di bawah miskin tegar di Sabah merekodkan sebanyak 38 peratus atau 6,937 daripada jumah keseluruhan 18,445 isi rumah di Malaysia.
Beliau menambah purata pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan di Sabah juga lebih tinggi iaitu RM1,218 sebulan berbanding kadar nasional sebanyak RM1,198.
Justeru, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kerana itu lapan daripada 10 daerah termiskin di seluruh negara direkodkan di Sabah.
"Paling tinggi adalah di Tongod sebanyak 5.9 peratus; Beluran (lima peratus); Pitas (4.8 peratus); KInabatangan (4.6 peratus); Kota Marudu (empat peratus); Tuaran (2.6 peratus); Ranau (2.4 peratus); dan Lahad Datu (2.4 peratus)," katanya pada sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai langkah-langkah menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah terutama lapan daerah yang dikategorikan termiskin di Malaysia.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata usaha menoktahkan kemiskinan di Sabah memerlukan infrastruktur pembasmian di peringkat nasional dan disusuli dengan program-program khusus di setiap daerah.
Jelas beliau, usaha membasmi kemiskinan di negeri itu juga lebih mencabar kerana kegiatan ekonomi yang mewujudkan peluang bergaji banyak tertumpu di pesisir pantai, selain masalah infrastruktur yang lebih meruncing berbanding negeri-negeri lain.
Sehubungan itu, Rafizi berkata peruntukan sebanyak RM468.7 juta bagi 2024 telah diwujudkan bagi projek-projek infrastruktur sebagai usaha mengurangkan jurang kemiskinan di lapan daerah tersebut.
"Selain itu, Sabah juga negeri penerima tertinggi peruntukan projek kecil di bawah RM200,000 di bawah Inisiatif Kemudahan Rakyat yang dikendalikan Kementerian Ekonomi, iaitu lebih kurang 40 peratus memang ditumpukan kepada Sabah," ujarnya lagi.
#Dewan Rakyat #Kementerian Ekonomi #8 daerah termiskin di Sabah #Rafizi Ramli