Dewan Rakyat: 24,290 rumah didaftar Rumah Bebas Tanpa Amalan Rokok - Rina

Fauzi Suhaimi
November 23, 2020 12:40 MYT
Rina berkata, sehingga kini sebanyak 24,290 rumah telah didaftarkan menerusi program itu dan kempen bebas asap rokok sekunder akan digiatkan lagi dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperluaskan Program Rumah Bebas Tanpa Amalan Merokok ke seluruh negara sebagai usaha mengelak remaja menjadi mangsa aktiviti berkaitan tembakau.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sehingga kini sebanyak 24,290 rumah telah didaftarkan menerusi program itu dan kempen bebas asap rokok sekunder akan digiatkan lagi dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pembangunan Garis Panduan Kaunseling Sosial Masalah Merokok Dalam Kalangan Remaja yang digunapakai di fasiliti Kafe@TEEN LPPKN.
“Matlamat garis panduan ini adalah untuk menjadikan remaja sihat tanpa amalan merokok dan seterusnya menjadi ejen perubahan tingkah laku kepada ibu bapa yang merokok.
“LPPKN mempunyai 18 pusat remaja Kafe@TEEN untuk remaja berumur 13 hingga 24 tahun yang menyediakan program dan perkhidmatan mempromosi dan memberikan latihan kemahiran hidup bagi tujuan gaya hidup sihat, termasuk program anti merokok dan Klinik Kaunseling Berhenti Merokok," katanya pada sesi pertanyaan dan jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Fuziah Salleh (PKR- Kuantan) mengenai status kerjasama dengan KKM untuk menangani gejala asap rokok sekunder atau ‘Secondhand Smoke’ oleh ibu bapa yang merokok.
Katanya, promosi anti merokok dilaksanakan dalam bentuk ceramah dan perbincangan kecil (TEEN Chat) serta topik ini dimasukkan sebagai aktiviti di dalam Modul Kesihatan Reproduktif LPPKN Untuk Remaja.
Dalam pada itu, Rina (Bersatu-Titiwangsa) berkata, kementeriannya mengalu-alukan sebarang cadangan dari ahli Parlimen bagi menjayakan usaha mengekang remaja dari terdedah asap rokok sekunder.
“Buat masa ini, belum ada sebarang insentif diberikan tetapi langkah yang kita ambil ialah dengan mengehadkan aktiviti merokok dalam kalangan orang dewan selain memperluaskan program rumah bebas tanpa asap rokok,” katanya lagi.
#Dewan Rakyat #Program Rumah Bebas Tanpa Amalan Merokok #Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara #Fuziah Salleh PKR- Kuantan #Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat #Rina Mohd Harun #merokok
;