Dewan Rakyat: 208 kematian tahanan Imigresen dilapor dari 2018 hingga 15 Feb
Bernama
Mac 17, 2022 16:35 MYT
Mac 17, 2022 16:35 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 208 kematian dalam tahanan depot Imigresen direkodkan bagi tempoh 2018 hingga 15 Feb lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata antara punca kematian tahanan yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) adalah disebabkan penyakit kejutan septik, tuberkulosis (Tibi), radang paru-paru teruk, jangkitan paru-paru, komplikasi jantung, denggi, kencing manis, sesak nafas, kegagalan fungsi organ, termasuk 25 kes akibat COVID-19 dan sebagainya.
"Kerajaan sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan tahanan di depot Imigresen yang terbaik dengan menyediakan penjagaan serta perlindungan terhadap mereka semasa dalam tahanan.
"Prosedur pengurusan tahanan yang berada dalam depot Imigresen telah dimasukkan dalam Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Mengenai Prosedur Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen," katanya pada sesi soal jawab.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang ingin tahu sama ada terdapat kematian dalam tahanan Imigresen dalam tempoh lima tahun lepas serta langkah-langkah untuk menyiasat dan mencegah kejadian itu.
Mengulas lanjut, Ismail berkata Jabatan Imigresen melalui usaha sama dengan KKM telah menempatkan 25 Penolong Pegawai Perubatan Gred U29/32 di Depot Imigresen seluruh Malaysia bagi memberikan rawatan awal kepada tahanan.
Beliau berkata kerajaan sentiasa membuat penambahbaikan semasa kerja-kerja menaik taraf depot Imigresen sedia ada dengan menyediakan ruang dan fasiliti yang sesuai untuk semua tahanan.
"Ini termasuk menempatkan Penolong Pegawai Perubatan Gred U29/32 jawatan kader di setiap depot Imigresen untuk menguruskan perihal kesihatan tahanan daripada proses saringan awal, kes-kes ringan dan juga rawatan susulan.
"Untuk kes akut dan kecemasan, Penolong Pegawai Perubatan Gred U29/32 dan pegawai Imigresen di Depot Imigresen akan menghantar penghuni terjejas ke Pusat Kesihatan Daerah atau Klinik Kesihatan terdekat. Ini dibuat mengikut prosedur operasi standard yang ditentukan oleh KKM," katanya.
Selain itu, beliau berkata pihaknya turut mengadakan libat urus dengan Jabatan Penjara serta pertubuhan bukan kerajaan tempatan dan antarabangsa seperti International Committee of the Red Cross (ICRC), Suka Society dan MyCare dalam pengurusan kesihatan tahanan.
Menjawab soalan tambahan Lim Lip Peng (PH-Kepong) mengenai jumlah bilik tahanan Imigresen dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), Ismail berkata kementerian telah menetapkan kesemua 18 depot Imigresen di seluruh negara mesti dipasang CCTV untuk keselamatan tahanan dan petugas.
-- BERNAMA