Dewan Pemuda Pas persoal Anwar Ibrahim membelakangkan MPPR

Aizat Sharif
September 2, 2013 08:49 MYT
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) mempersoalkan langkah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat membelakangkan Majlis Presiden Pakatan Rakyat (MPPR) dalam mengeluarkan sebarang kenyataan untuk bertemu dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmd Al Hiss berkata mereka begitu musykil dengan tindakan Anwar tersebut sedangkan sebelum ini Presiden dan pimpinan Pas begitu teruk dihentam ketika cadangan mengajak kerajaan BN mengadakan perbincangan.
“Anwar diharap dapat merujuk dahulu sebarang keputusan dengan Majlis Presiden Pakatan Rakyat sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan untuk bertemu dengan kerajaan BN,” tegas Dr Raja dalam kenyataan medianya yang diemelkan kepada Astro Awani.
Kenyataan itu merujuk kepada perutusan Anwar Ibrahim sempena kemerdekaan dimana beliau yang menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan kerajaan bagi menyelesaikan masalah negara.
DPPM menganggap baik cadangan DS Anwar Ibrahim untuk mengadakan perbincangan mengenai isu-isu besar perlu melibatkan kerajaan dan pemimpin PR agar kemelut negara dapat ditangani dan diselesaikan secara bersama.
“Kerajaan dan pembangkang sebaiknya duduk semeja dengan tidak mempolitikkan sesuatu isu supaya rakyat dan negara mendapat manfaatnya,” katanya lagi.
Tanggungjawab membina negara adalah amanah yang perlu dipikul bersama dan setiap pemimpin perlu merasa prihatin terhadap pergolakan negara dengan memberikan respons atau sebarang kerjasama.
“Apa yang diharapkan Majlis Presiden PR serta pimpinan PR meneliti cadangan beliau serta mendokong usaha kerjasama dan perbincangan itu nanti. Kesepakatan dan kesepaduan dalam PR yang utuh memberikan suatu keyakinan kepada rakyat bahawa PR layak dan mampu memerintah negara dalam PRU ke 14,” kata Dr Raja.
DPPM sekadar mengingatkan Anwar agar berhati-hati dalam permainan politik musuh.
“Apa yang dibimbangkan adalah beliau terperangkap dengan politik individu atau segolongan mereka yang berkepentingan,” beliau berkata.
#Anwar Ibrahim #DPPM #Majlis Presiden Pakatan Rakyat