Dewan Negara lulus tiga rang undang-undang

Bernama
Ogos 11, 2022 04:05 MYT
Mas Ermieyati berkata cadangan mewujudkan sesi pertanyaan lisan bagi Perdana Menteri dan Menteri-Menteri wajar dirujuk kepada Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Dewan Negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022.
Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz ketika menggulung usul perbahasan Rang Undang-Undang Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022 berkata pindaan bertujuan memastikan caruman anggota tentera dalam Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) selamat.
Beliau berkata kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana salah laku berkaitan caruman.
Sementara itu, Rang Undang-Undang Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2022 pula melibatkan pindaan pada Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 91) dalam penyediaan dokumen dan rekod rayuan bebas kertas pada prosiding rayuan jenayah serta mengehadkan rayuan untuk kes-kes interlokutori sivil.
Bagi Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022, pindaan dibuat susulan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2022 yang melibatkan penyediaan dokumen dan rekod rayuan bebas kertas dalam prosiding perbicaraan rayuan jenayah.
Kedua-dua rang undang-undang itu dibentang oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Sebelum sesi persidangan semalam ditangguh, Mas Ermieyati berkata cadangan mewujudkan sesi pertanyaan lisan bagi Perdana Menteri dan Menteri-Menteri wajar dirujuk kepada Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Dewan Negara dengan mematuhi tatacara yang ditetapkan dalam Peraturan Mesyuarat 73.
Terdahulu, Senator Datuk A. Kesavadas membawa usul itu bagi memperkasa peranan dan fungsi Dewan Negara sebagai pentas Parlimen yang wajar diberi pengiktirafan oleh Jemaah Menteri seperti diamalkan secara tradisi di Dewan Rakyat.
Dewan Rakyat melaksanakan sesi khas waktu pertanyaan menteri (MQT) sejak Oktober 2016.
Persidangan dewan bersambung Isnin.
-- BERNAMA
#Dewan Negara #Rang Undang-Undang #Mas Ermieyati Samsudin #Dewan Rakyat
;