Dewan Negara lulus RUU Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran

Bernama
Disember 23, 2021 17:33 MYT
Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021.
Rang undang-undang itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, setelah dibahas lapan senator.
Rang undang-undang itu bertujuan memastikan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) selaras dengan kehendak Protokol Palermo dan Konvensyen ASEAN bagi Menentang Pemerdagangan Manusia terutama Wanita dan Kanak-Kanak (ACTIP).
Rang undang-undang itu melibatkan beberapa pindaan yang antara lain termasuk pindaan tafsiran pemerdagangan orang dan pemansuhan tafsiran paksaan.
Terdahulu, Ismail ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata pindaan tafsiran itu merupakan elemen paling utama dalam pindaan kali ini yang bertujuan menyeragam tafsiran pemerdagangan orang dan paksaan.
"Penyelarasan tafsiran ini dihasratkan dapat membantu memudahkan proses pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang dan pertubuhan kepada penjenayah yang terlibat," katanya.
-- BERNAMA
#Rang Undang-Undang #RUU #Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran #Dewan Negara #Ismail Mohamed Said
;