Dewan Negara lulus Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023
Bernama
November 27, 2023 20:10 MYT
November 27, 2023 20:10 MYT
KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang bertujuan mengadakan peruntukan bagi tanggungjawab, kebertanggungjawaban, tadbir urus dan ketelusan kerajaan dalam menguruskan kewangan awam dan risiko fiskal.
Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong berkata rang undang-undang tersebut memberi penekanan terhadap kebertanggungjawaban kerajaan terutamanya Kementerian Kewangan dalam menetapkan sebarang sasaran fiskal pada masa hadapan.
"Jadi, mulai sekarang, selepas rang undang-undang ini diluluskan, Menteri Kewangan tidak boleh lagi menetapkan sasaran (fiskal) di pejabat Perbendaharaan (Kementerian Kewangan).
"(Langkah ini) tidak mengira (parti) kerajaan, mereka perlu membawa sasaran tersebut ke Parlimen untuk dibahas dan diluluskan," katanya ketika menggulung perbahasan berkenaan pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Menurut naskah biru yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, objektif dasar fiskal itu melibatkan menteri bertanggungjawab merumuskan dan melaksanakan dasar fiskal kerajaan untuk memastikan kemampanan kewangan awam, memelihara kestabilan makroekonomi serta melindungi kesejahteraan rakyat.
Rang undang-undang itu turut menyatakan objektif fiskal dan nilai kuantiti, antaranya untuk memastikan perbelanjaan pembangunan tahunan minimum yang dilakukan sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi menjana pertumbuhan ekonomi.
Pada awal tahun ini, Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Akta Tanggungjawab Fiskal itu akan merangkumi beberapa komponen antaranya had peratusan hutang kerajaan tidak melebihi 65 peratus daripada KDNK serta menanggung bayaran khidmat hutang yang tidak melebihi 15 peratus daripada belanjawan tahunan Kerajaan Persekutuan.
-- BERNAMA