KUALA LUMPUR: Dua rang undang-undang berkaitan pemansuhan kesalahan percubaan bunuh diri diluluskan di Dewan Negara hari ini.

Rang undang-undang berkenaan ialah Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2023 dan Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2023.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh menggulung perbahasan bagi kedua-dua rang undang-undang berkenaan yang berunsurkan pencegahan kes bunuh diri, setelah dibahas oleh senator.

Rang Undang-undang berkenaan dibentang untuk bacaan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pada 4 April lepas dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 22 Mei lepas.

Dalam penggulungannya bagi perbahasan Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2023, Ramkarpal berkata terdapat beberapa peruntukan mewajibkan seseorang yang cuba membunuh diri dibawa ke fasiliti perubatan untuk mendapatkan rawatan.

"Keutamaan dalam pindaan-pindaan ini adalah untuk memulihkan seorang yang berfikir untuk mengambil nyawanya sendiri. Ini juga akan mengambil masa yang lama oleh kerana terdapat proses dari segi psikologi dan sebagainya untuk memulihkan orang tersebut," katanya.

Sementara itu, perbahasan bagi satu lagi rang undang-undang berkaitan iaitu Rang Undang-undang Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 bersambung esok.

Azalina sebelum ini berkata rang undang-undang pemansuhan kesalahan percubaan bunuh diri melibatkan empat dasar, antaranya mengekalkan kesalahan persubahatan membunuh diri di bawah seksyen-seksyen 305 dan 306 Kanun Keseksaan.

Ini dengan memasukkan persubahatan perlakuan percubaan bunuh diri oleh mana-mana orang sebagai suatu kesalahan jenayah dan seterusnya dibezakan berdasarkan kategori orang yang dihasut untuk melakukan tindakan-tindakan berkaitan.

Dasar lain pula bertujuan mewujudkan pegawai intervensi krisis dan memberikan kuasa penangkapan kepada pegawai berkenaan di bawah Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615), selain mencadangkan moratorium terhadap pelaksanaan seksyen 309 Kanun Keseksaan sehingga pemansuhan seksyen itu selesai dilaksanakan dan diwartakan dengan sewajarnya.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

-- BERNAMA