Dewan Negara lulus dua RUU di bawah PETRA hari ini

Bernama
April 4, 2024 21:03 MYT
Akmal Nasrullah berkata penguatkuasaan RUU itu penting, kerana ia memberi impak kepada negara dengan penjimatan penggunaan tenaga yang dijangka sebanyak RM97.1 bilion menjelang 2050. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 dan RUU Bekalan Elektrik (Pindaan) 2023 di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Kedua-dua RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju, selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023, berkait rapat dengan inisiatif peralihan tenaga ke arah mencapai aspirasi pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 oleh sektor berkaitan tenaga, selain menambah baik kecekapan tenaga dan mengelakkan pembaziran.
Ketika sesi penggulungan, Akmal Nasrullah berkata penguatkuasaan RUU itu penting, kerana ia memberi impak kepada negara dengan penjimatan penggunaan tenaga yang dijangka sebanyak RM97.1 bilion menjelang 2050.
"Kalau nak dianggarkan perbandingannya, ia seolah-olah pertumbuhan 8.24 bilion pokok selama tempoh 10 tahun, hasil penjimatan ini," katanya.
Akmal Nasrullah berkata RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 juga akan mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan baharu, sebagai pengurus tenaga berdaftar dan juruaudit tenaga berdaftar iaitu tambahan kepada pengurus tenaga sedia ada.
Beliau berkata pihaknya telah menemui seramai 2,008 pengurus tenaga elektrik yang berpotensi untuk didaftarkan di bawah pelaksanaan RUU itu, selain 364 syarikat perkhidmatan tenaga telah mempunyai juruaudit tenaga yang berpotensi untuk didaftarkan, setakat Mac 2024.
Berhubung pindaan ke atas RUU Bekalan Elektrik 2023, Akmal Nasrullah berkata ia akan memantapkan lagi tadbir urus, selain memastikan kementerian melaksanakan fungsi dan peranannya dalam menetapkan dasar hala tuju, serta mengawal selia semua aspek berkaitan kecekapan tenaga, secara teratur dan berkesan.
Beliau berkata apabila RUU tersebut diwartakan kelak, ia antara lain akan mengalakkan orang ramai menggunakan Tenaga Boleh Baharu (TBB) khususnya tenaga solar.
"Dari segi kos pemasangan solar itu sendiri, sebenarnya dalam tempoh 10 hingga 15 tahun ini banyak pengurangan kos telah berlaku, sebagai contoh pemasangan (kapasiti) 1kilowatt per jam pada 2011, harganya boleh mencecah RM8,000 hingga RM11,000.
"Tapi pada tahun ini, harganya telah turun di pasaran sekitar RM4,000 hingga RM5,000 untuk per kilowatt," katanya.
Persidangan Dewan Negara ditangguh ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
-- BERNAMA
#Petra #karbon sifar bersih #juruaudit tenaga #Dewan Negara
;