Dewan Negara: Lim, Ahmad angkat sumpah sebagai Senator

Firdaus Azil
Ogos 8, 2022 10:50 MYT
Tan Sri Rais Yatim berkata, Senator adalah pemimpin dalam rumah gelas, dan perbuatan mereka dilihat rakyat dan dinilai mereka. - Foto Parlimen Malaysia
KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini menyaksikan Datuk Lim Pay Hen, dan Datuk Ahmad Ibrahim mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan, Tan Sri Rais Yatim, sebagai Senator.
Lim, yang berkelulusan Diploma Perguruan dari Maktab Perguruan Raja Melewar dan kini merupakan Timbalan Pengerusi MCA Johor, adalah pilihan Dewan Undangan Negeri Johor, dan pernah menjadi Senator antara 2017 hingga 2020.
Ahmad pula berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dan Kewangan, dan kini merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, dan beliau merupakan pilihan Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Rais ketika mengalu-alukan kedua-dua tokoh berkenaan berkata, tempoh lantikan Lim dan Ahmad adalah sehingga tahun 2025.
“Kepada Ahli-ahli Berhormat berdua, galaskah tanggungjawab ini sebaik mungkin, tunaikan segala sumpah dilafazkan sebentara tadi dengan penuh amanah kerana Dewan Negara ketika ini sedang melalui fasa transformasi.
“Ia memerlukan penglibatan dan penyertaan aktif para Senatornya secara menyeluruh, agar peranan dewan yang mulia ini dalam memperjuangkan rakyat jadi tersohor dan berkesan.
“Saya sering ulangi penyataan, antara sumpah dengan perbuatan, antara sumpah dengan pelaksanaan dan sumpah dengan gara-gara politik, hendaklah sentiasa tidak ada yang menelurkan negativiti, atau perkara yang jatuhkan nama baik dewan yang mulia ini,” katanya lagi.
Jika sumpah jawatan itu dilaksanaan mengikut apa yang tertera dalam Perlembagaan, kata Rais lagi, akan kurang pemimpin menjadi penjenayah, kurang pemimpin memuslihatkan keadaan masyarakat, dan kurang keadaan di mana Senator akan dicap rakyat sebagai tidak bertanggungjawab.
Rais berkata, Senator adalah pemimpin dalam rumah gelas, dan perbuatan mereka dilihat rakyat dan dinilai mereka.
“Setiap perkataan kita mereka dengar dan beri penilaian. Apakah tidak sampai masanya bagi kita masa ini lihat semula ini sebagai cerminan wajah politik dan wajah pimpinan kita sendiri?” katanya lagi.
#Lim Pay Hen #Ahmad Ibrahim #senator #Rais Yatim
;