Dewan Negara: Kerajaan wajar gubal undang-undang khusus berkaitan diskriminasi
Bernama
September 20, 2023 21:56 MYT
September 20, 2023 21:56 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar mempertimbangkan untuk menggubal undang-undang berkaitan diskriminasi seperti Akta Anti-Diskriminasi, bagi menjamin keharmonian dalam kalangan masyarakat, Dewan Negara diberitahu.
Memandangkan negara belum mempunyai undang-undang khusus mengenai perkara itu, Senator Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata perbincangan lanjut perlu dilakukan, bagi memastikan penggubalan akta itu mengambil kira realiti masyarakat majmuk di negara ini.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga menyarankan, supaya kerajaan lebih tegas menangani isu kebencian kaum dan agama yang dibuat melalui ucapan, dengan mewujudkan Undang-undang Anti Ucapan Kebencian.
"Tanpa undang-undang yang khusus, kita bimbang isu-isu perkauman dan agama sempit ini, akan terus dimainkan yang akhirnya boleh memecah belahkan masyarakat. Kita perlu hentikannya...sebab itu perlu ada Undang-undang Anti Ucapan Kebencian.
"Sekarang adalah masa yang sesuai untuk ia digubal dan dilaksanakan, kerana kita sememangnya memerlukan satu bentuk perundangan yang tegas untuk pastikan SDG (matlamat pembangunan lestari), keamanan, inklusiviti dan kesamarataan ini, tidak menjadi ancaman kepada negara," katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Negara hari ini.
Pada 2018, Mujahid yang ketika itu bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Agama dilaporkan berkata kerajaan akan memperkenalkan Akta Kebencian Agama dan Kaum, bagi menyekat budaya mencaci dan memaki agama sekali gus melindungi semua agama dalam negara.
Dalam hal yang sama, seorang lagi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada 25 Julai lepas, juga mencadangkan supaya kerajaan menggubal Akta Kebencian Kaum dan Ekstremisme Agama, bagi menangani isu membabitkan provokasi 3R (agama, bangsa dan raja).
Sementara itu, Senator Datuk Dr Hatta Md Ramli pula mencadangkan, kerajaan menubuhkan sebuah yayasan atau jawatankuasa berkaitan tanah wakaf, untuk membangunkan tanah-tanah tersebut bagi menjana ekonomi umat Islam di negara ini.
Beliau percaya penubuhan yayasan atau jawatankuasa itu mampu memacu pembangunan tanah-tanah wakaf dengan lebih baik, tidak terkecuali 16 peratus tanah wakaf yang belum dibangunkan sebagaimana di dalam laporan KSP RMK12.
"Kita mempunyai aset tanah wakaf yang agak besar dengan nilainya dianggarkan berbilion. Dengan perancangan yang baik, keuntungan daripada aktiviti di tanah-tanah tersebut boleh disalurkan untuk kebajikan golongan asnaf dan masyarakat setempat," katanya.
Senator Datuk Dr Arman Azha Abu Hanifah pula menyarankan, kerajaan melihat semula aspek penggunaan teknologi makanan bagi memastikan kelangsungan sekuriti makanan negara terjamin.
Beliau berkata jaringan teknologi makanan yang canggih, mampu menjana pengeluaran makanan yang lebih optimum, dan dalam masa sama membuka lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus menangani isu pengganguran serta peningkatan kos sara hidup.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok.
-- BERNAMA