Dewan makan SMK Kota Marudu 1 terbakar

Sinar Harian
September 13, 2022 11:00 MYT
Pasukan bomba memadamkan kebakaran membabitkan dewan makan SMK Kota Marudu 1, di Kota Marudu pada malam Isnin. -Foto Sinar Harian
KOTA MARUDU: Dewan makan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu 1, di sini musnah dalam satu kebakaran pada malam Isnin.
Bagaimanapun, tiada pelajar atau guru dilaporkan cedera dan semuanya dalam keadaan selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.49 malam.
Katanya, seramai sembilan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh dua kilometer dari BBP Kota Marudu.
"Menurut laporan, kebakaran melibatkan sebuah dewan makan sekolah jenis kekal yang terbakar 70 peratus.
"Ketika kejadian, difahamkan terdapat pelajar di dalam dewan makan berkenaan namun semuanya dalam keadaan selamat.
"Usaha memadamkan kebakaran segera dilakukan dan api berjaya dikawal pada jam 9.02 malam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Katanya lagi, hasil pemeriksaan tiada mangsa cedera dilaporkan dalam kejadian itu.
"Operasi ditamatkan pada jam 10.15 malam selepas memastikan semuanya selamat," katanya. -Sinar Harian
#Balai Bomba dan Penyelamat #Dewan makan terbakar #SMK Kota Marudu 1 #Rony Sikawan
;