Dewan kecoh: Azeez dakwa cakap Tamil dengan gajah, Rayer anggap itu biadab, kurang ajar

Firdaus Azil
Oktober 26, 2021 18:30 MYT
Rayer berkata, berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(12), kenyataan itu adalah mengelirukan Dewan, dan menganggap Abdul Azeez sebagai kurang ajar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perkongsian Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Rahim bagaimana beliau berbicara dengan seekor gajah dalam Bahasa Tamil, menyebabkan Dewan Rakyat kecoh seketika hari ini.
Ketika sedang membahaskan Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer bangkit menganggap perkara itu adalah memalukan, dan menghina masyarakat yang berbahasa Tamil.
Rayer berkata, berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(12), kenyataan itu adalah mengelirukan Dewan, dan menganggap Abdul Azeez sebagai kurang ajar.
“Ada wakil rakyat di sebelah sana berbangsa Tamil di sini, negara Malaysia ramai berbahasa Tamil. Adakah speaker nak benarkan Baling menghina, boleh bercakap gajah dengan Bahasa Tamil? Itu sangat bodoh, kurang ajar!
“Tolong dengar saya, Speaker jangan benarkan beliau hina Bahasa tamil. Katakan bercakap dengan gajah dalam Bahasa tamil adalah menghina Bahasa tamil. Minta tarik balik,” tegasnya lagi.

YB Baling kongsi pengalaman berbahasa Tamil pindahkan gajah liar, YB Jelutong anggap ia hinaan lalu bertikam lidah dengan YDP Dewan Rakyat. YB Jelutong diminta keluar 10 minit selepas gagal patuhi arahan.#AWANInews#SisiTVParlimen#DewanRakyat pic.twitter.com/q3oiVIuRsP

— Astro AWANI (@501Awani) October 26, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Selepas berkali-kali meminta beliau bertenang, akhirnya Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun tidak mempunyai pilihan lain selain memerintahkan Rayer keluar dari Dewan selama 10 minit.
Terdahulu, sewaktu membahaskan RUU itu, Abdul Azeez berkata, terdapat seekor gajah yang telah hidup di hutan sejak 40 tahun lepas di Baling.
Bagaimanapun beliau berkata, akibat diserang bisul di kaki, gajah itu akhirnya keluar dari hutan, dan mula memakan hasil tanaman orang-orang kampung, hingga memaksa tindakan dilakukan.
“Pengalaman saya empat hari bersama gajah, saya namakan dia Awang Bukit Hijau. Gajah ini sangat istimewa, kerana setahu saya dia faham tiga Bahasa, satu cakap Tamil, kedua faham Bahasa Siam, dan ketiga faham cakap Myanmar.
“Hari ketiga, saya dapat tahu dia boleh faham, saya cakap Bahasa Tamil. Saya cakap, dan cuba tenangkan dia, akhirnya gajah itu mengangkat belalai dan tunduk, membolehkan saya beri ia makan tebu,” katanya lagi, sambil berkata gajah itu akhirnya berjaya ditangkap, dan dihantar ke Terengganu.
Ketika sedang berkongsi pengalamannya, Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman bangkit dan meminta Abdul Azeez berkongsi dalam Bahasa Tamil, apa yang dituturkan kepada gajah itu sehingga ia akur dan bertenang.
Pada mulanya Abdul Azeez enggan, namun setelah diberi kebenaran oleh Speaker beliau bercakap dalam Bahasa Tamil, lantas mencetuskan kemarahan Rayer, sehingga menjadikan Dewan kecoh seketika.
#Dewan Rakyat #Abdul Azeez Rahim #RSN Rayer #hina dewan rakyat
;