Dewan Belia India Malaysia bakal jadi perintis dalam melahirkan pemimpin belia kaum India

Kenyataan Media
November 30, 2021 22:35 MYT
Sekretariat Dewan Belia India Malaysia ingin mengubah landskap politik membabitkan kepimpinan golongan belia India di negara ini. - Gambar fail
DEWAN Belia India Malaysia (DBIM) akan menghimpunkan seramai 70 perwakilan belia kaum India yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan ideologi politik untuk membincangkan, mendebatkan dan meluluskan usul-usul berkaitan dasar negara, undang-undang dan masyarakat kaum India selama tiga bulan (November 2021 - Januari 2022).
Program ini akan disertai oleh perwakilan belia kaum India yang berusia 16 sehingga 30 tahun. Program ini bakal diadakan secara hibrid buat julung kali di Malaysia khususnya untuk belia kaum India menyalurkan pendapat dan cadangan mengenai dasar dan politik negara. Program ini juga akan memfokuskan pembentangan usul bagi lima kementerian tertentu termasuk Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan semasa persidangan yang akan diadakan secara maya.
Inisiatif ini dianjurkan oleh sebuah sekretariat bebas bersama dengan Undi18 sebagai rakan penganjur.
Sekretariat ini diketuai oleh pemimpin dan aktivis belia, Kiran Raj Sathivel. Program ini juga telah mendapat sokongan daripada beberapa pertubuhan seperti Architect of Diversity (AOD), Projek 57, Gerakan Belia Se-Punjabi Malaysia (GBSM), Enlight Malaysia dan lain-lain. Seramai lapan pemimpin dan aktivis masyarakat India termasuk Yang Berhormat (YB) P.Prabakaran, YB Kasthuriraani Patto, Tharma Pillai, Sivarraajh, Sharan Raj dan Dr. Thanussha Francis Xavier turut menyumbang dalam program ini untuk sesi "mentoring" bagi kesemua 70 perwakilan dan akan membantu dari segi mengawal selia persidangan Dewan Belia India Malaysia.
Program ini diadakan susulan daripada kesedaran proses demokrasi yang kurang memberangsangkan dan kelesuan politik dalam kalangan anak muda. Selain itu, isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India khususnya golongan keluarga berpendapatan rendah (B40) juga tiada penambahbaikan akibat perangkaan dasar dan pelan pembangunan yang tidak selaras dengan keperluan masyarakat India dari segi kaedah pelaksanaan dan pemerkasaan ekonomi.
Oleh itu, Sekretariat Dewan Belia India Malaysia ingin mengubah landskap politik menerusi program ini dengan mempraktikkan kaedah pelaksanaan bipartisan demi memupuk sikap kepimpinan dan kesedaran politik dan aktivisme dalam kalangan belia India di Malaysia.
"Anak muda harus didedahkan kepada proses demokrasi dan pentadbiran negara demi pembangunan masyarakat sejagat."
Kiran Raj Sathivel
Pengarah Dewan Belia India Malaysia
#Dewan Belia India #DBIM #Undi18 #pemimpin belia
;