Detik cemas mangsa tragedi bot karam Belaga
Tunku Nashrul Tunku Abaidah
Jun 1, 2013 16:08 MYT
Jun 1, 2013 16:08 MYT
Walaupun masih dalam keadaan trauma, seorang mangsa yang terselamat John Soon Hock Chiong sanggup menaiki sebuah perahu ke lokasi nahas bot karam di Giam Bungan setiap hari dari Nanga Metah.
Ia sanggup dilakukan individu tersebut kerana isteri beliau Roslin Jati yang mengandung lima bulan masih hilang sehingga hari ini.
Sewaktu hari kejadian beliau bersama isteri dan anaknya yang berusia lima tahun dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menyambut Hari Gawai.
Namun semuanya bertukar tragedi selepas bot yang mereka naiki karam Selasa lalu.
John Soon juga sempat menceritakan detik-detik terakhir ketika cuba menyelamatkan isterinya.
"Ada saya ambik jaket penyelamat, suruh dia pakai sebab dia tidak boleh berenang. Saya kasi dia pakai tapi tidak tahu macam mana boleh keluar... kalau dia tidak lepas dia punya tangan memang dia tidak mati,” kata John Soon.
Bapa kepada tiga anak berusia lima hingga 13 tahun ini turut berkata sambutan Gawai tahun ini tidak bermakna buat keluarganya akibat tragedi itu.
Malah anak-anaknya masih tidak dapat menerima hakikat kehilangan ibu mereka.
Lelaki berusia 39 itu turut percaya isterinya masih terperangkap di dalam bangkai bot tersebut.
Sementara itu bagi meringankan beban yang dihadapi, kumpulan petugas media di Belaga turut tampil bagi menyampaikan sumbangan wang ringgit beliau.