Desaru bakal jadi syurga ekopelancongan baharu, tawar pengalaman pelancongan unik

Amzar Alif
Ogos 25, 2024 16:40 MYT
Timbalan Ketua Setiausaha Pelancongan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Yasmeen Yasim (empat, kiri) ketika Majlis Pecah Tanah bagi Pembangunan Pusat Eko-Pelancongan Arubay. - Gambar YHL
DESARU: Desaru bakal menjadi pusat tarikan utama bagi pelancongan berasaskan alam semula jadi dengan perasmian pembangunan Arubay Eco Resort.
Resort ini dijangka membuka lembaran baharu dalam sektor ekopelancongan di Johor, memberikan pengalaman unik dan lestari kepada para pelancong.
Majlis Pecah Tanah bagi Pusat Pembangunan Eko-Pelancongan Arubay telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Pelancongan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Yasmeen Yasim, sebagai wakil rasmi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Menurut Yasmeen, Arubay Eco Resort dijangka menjadi destinasi utama di Desaru, yang akan meningkatkan daya tarikan kawasan ini di kalangan pelancong yang mementingkan kelestarian alam sekitar.
“Pembangunan ini akan menggabungkan pelancongan dengan pemeliharaan alam dan ekologi sekitar, menawarkan pengalaman percutian yang unik serta kepelbagaian aktiviti rekreasi yang amat menarik," ujarnya.
Arubay Eco Resort, yang dijadualkan siap pada pertengahan 2025 untuk Fasa 1 dan beroperasi sepenuhnya menjelang 2027, akan menawarkan pengalaman percutian yang berfokuskan kelestarian alam semula jadi.
Resort ini tidak hanya menawarkan penginapan eko yang mesra alam, tetapi juga menyediakan pelbagai aktiviti interaktif dan pendidikan berasaskan alam seperti Harvest-Bay, yang memberi peluang kepada pengunjung untuk terlibat dalam aktiviti pertanian dan penternakan.
Selain itu, resort ini juga akan memperkenalkan kemudahan Edubiz Leisure yang direka untuk menyokong aktiviti berkumpulan seperti mesyuarat, seminar, dan penganjuran acara.
Ini diharap akan menarik minat pelancong yang ingin menggabungkan aktiviti rekreasi dengan peluang pembelajaran dan perniagaan.
Projek ini juga bakal membuka 300 peluang pekerjaan baharu, yang merangkumi latihan untuk pelajar perhotelan dari institusi tempatan serta memberikan manfaat besar kepada komuniti setempat, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi tempatan.
Dengan pelbagai usaha yang dilakukan, Arubay Eco Resort berpotensi besar untuk meletakkan Desaru sebagai salah satu destinasi ekopelancongan terkemuka di Malaysia, menawarkan pelancong dari seluruh dunia peluang untuk menikmati keindahan alam sambil memelihara warisan semula jadi yang tidak ternilai.
#ekopelancongan #Arubay Eco Resort #Yasmeen Yasim #Datuk Seri Tiong King Sing
;