Desakan letak jawatan kerana tipu ijazah, Khalid serah kepada PM

Rahimah Abdullah
Februari 10, 2019 14:57 MYT
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menyerahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana anggota kabinet yang terpalit dengan isu ijazah palsu atau tidak diiktiraf. - Gambar fail
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menyerahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana anggota Kabinet yang terpalit dengan isu ijazah palsu atau tidak diiktiraf badan pendidikan.
Jelasnya, hanya Perdana Menteri yang boleh membuat keputusan berkenaan memandangkan barisan Kabinet itu dipilih pemimpin itu sendiri.
"Itu saya serah kepada Perdana Menteri sebab Perdana Menteri yang melantik Kabinetnya. Jadi, penilaian Perdana Menteri sama ada dia melantik atas dasar ijazah itu atau atas dasar lain.
"Kadang-kala orang yang tiada ijazah pun dia boleh buat kerja dengan baik dan dia dipilih Perdana Menteri untuk menjadi sebahagian daripada Kabinetnya. Keputusan kita serah kepada Perdana Menteri," katanya kepada media selepas menghadiri Kenduri Rakyat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Bandar Tun Razak di sini pada Ahad.
BACA: Pemalsuan sijil boleh berdepan tindakan dibuang kerja serta tuduhan jenayah
BACA: MB Johor hanya senyum, enggan jawab dakwaan miliki sijil palsu
Beliau mengakui ada individu yang tidak memalsukan ijazah, sebaliknya, ia melibatkan universiti terlibat tidak diberikan akreditasi pada ketika itu.
"Pada ketika itu, akreditasi ini belum lagi diamalkan secara menyeluruh. Banyak universiti di Amerika Syarikat yang tidak mendapat akreditasi dan ia tidak merupakan perkara yang diwajibkan. Namun ia bukan ijazah palsu, sebaliknya, universiti yang tidak diakreditasi," tambahnya.
Bagaimanapun katanya, sama ada memiliki ijazah atau sebaliknya, ia tetap bergantung kepada prestasi kerja.
Ditanya kemungkinan isu berkenaan memberi modal kepada parti pembangkang untuk terus membongkar mana-mana menteri yang mungkin tidak memiliki atau memalsukan ijazah, Khalid berkata, kerajaan sentiasa bersedia dengan perkara itu.
"Mereka tiada kerja lain, mereka ada masa nak periksa ijazah dan latar belakang universiti, biar mereka buatlah kerja-kerja itu. Apabila mereka periksa perkara itu kita akan tengoklah. Jadi kita ucap terima kasih," kata beliau.
Sebelum ini, beberapa NGO dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendesak Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya letak jawatan kerana didakwa memiliki ijazah palsu dan tidak diiktiraf mana-mana badan akreditasi pendidikan.
Malah, beberapa anggota Kabinet lain turut terkesan dengan isu berkenaan.
#Amerika Syarikat #Asyraf Wajdi Dusuki #kerajaan #Kuala Lumpur #Mahathir Mohamad #Media #NGO #pembangkang #Pemuda UMNO #pendidikan #Perdana Menteri #UMNO
;