Desakan ibu bapa bentuk psikologi kurang sihat
Nursyazwani Saiful Sham
November 29, 2017 05:17 MYT
November 29, 2017 05:17 MYT
Desakan ibu bapa terhadap anak-anak yang gagal mencapai semua ‘A’ di dalam peperiksaan akan membentuk psikologi kurang sihat, kata Pakar Psikologi Universiti Malaya (UM).
Menurut Profesor Madya Dr Mariani Md Nor, perbuatan mendesak anak-anak merupakan satu perbuatan sia-sia.
Sebaliknya, menurut beliau, ibu bapa seharusnya meraikan kejayaan mereka atas usaha yang telah dilakukan.
“Tidak kira jika keputusan hanya empat ‘A’, atau tiada ‘A’ langsung, mereka sepatutnya diiktiraf atas usaha yang dilakukan selama di bangku sekolah untuk terus membentuk sahsiah anak-anak mengikut falsafah pendidikan yang seimbang.
“Sudah jelas falsafah pendidikan kebangsaan merupakan usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
“Ibu bapa jangan bersifat pentingkan diri dan hanya mahu anak-anak dibentuk mengikut tetapan sendiri. Sebaliknya bersyukur dengan kemajuan yang telah ditunjukkan oleh mereka saban hari,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebelum ini mengakui wujud kesan psikologi terhadap murid-murid lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang gagal mencapai semua ‘A’.
#anak-anak
#Astro
#desakan
#kurang sihat
#Mahdzir Khalid
#menteri
#pendidikan
#psikologi
#sekolah
#sia-sia
#UPSR