Desak operasi Crackhouse Comedy Club ditutup terus

Sinar Harian
Julai 18, 2022 07:10 MYT
Aminuddin (kanan) pada sidang akhbar Petisyen Tutup Crackhouse Club pada Isnin. -Foto Sinar Harian
AMPANG: Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas dengan menutup terus operasi Crackhouse Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail di sini susulan kontroversi membuat jenaka menghina agama Islam.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, lebih 30,000 sokongan diperoleh menerusi petisyen mendesak penutupan sepenuhnya kelab berkenaan.
Menurutnya, penutupan operasi itu dilihat wajar bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti yang berlaku ke atas seorang lelaki di Puchong yang dibelasah orang ramai kerana menghina agama.
"Kita jangan pandang ringan pihak yang mungkin akan ambil tindakan lebih agresif seperti tular di media sosial pada Ahad membabitkan pemuda yang menghina Islam telah dipukul orang awam.
"Tidak mustahil insiden sama boleh berlaku jika kejadian hina agama terus berulang hingga menyebabkan orang ramai bertindak di luar batas dan melakukan tindakan-tindakan sedemikian," katanya pada sidang akhbar Petisyen Tutup Crackhouse Club di Pejabat Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) di Taman Melawati pada Isnin.
Tegasnya, premis berkenaan termasuk kelab-kelab lain yang menanam unsur kebencian terhadap sesuatu agama perlu ditutup sepenuhnya demi menjaga kesejahteraan dan keamanan negara.
"Crackhouse Club bukan hanya melanggar syarat lesen tetapi jelas menghina agama Islam. Perbuatan itu bukan kali pertama berlaku.
"Dimaklumkan ramai pelawak juga yang tidak bersetuju dengan perbuatan tersebut.
"Jika benci sekali pun, buat di rumah saja dan jangan pamerkan kebencian sebagai bahan lawak.
"Amat wajar kelab ditutup terus termasuk kelab-kelab lain yang membawa ciri-ciri sama harus ditutup segera," katanya.
Pada 13 Julai lalu, Siti Nuramira Abdullah, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama dalam kalangan sesama Islam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Siti Nuramira tular di media sosial susulan video memaparkan perbuatannya yang mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran kemudian bertindak membuka tudung serta menanggalkan baju kurung ketika membuat persembahan di atas pentas. -Sinar Harian
#Crackhouse Comedy Club #jenaka hina agama Islam #Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam #Aminuddin Yahaya
;