Dermasiswa B40 mampu tarik minat ibu bapa galakkan anak memilih TVET
Astro Awani
Jun 21, 2022 22:00 MYT
Jun 21, 2022 22:00 MYT
KUALA LUMPUR: Program Dermasiswa B40 Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dilihat antara cara berkesan untuk menarik minat ibu bapa menggalakkan anak mereka memilih TVET sebagai laluan pendidikan.
Begitupun, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Rizan Hassan berkata, perkara paling penting buat masa ini adalah kesedaran daripada belia berhubung kepentingan aliran tersebut.
“Kalau anak-anak kita dari awal, mereka tahu bahawa TVET bukan untuk kelas kedua tapi TVET untuk semua, saya percaya lebih ramai lagi akan berlumba-lumba untuk memilih TVET sebagai pilihan utama.
“Soal pembiayaan, penajaan, dermasiswa dan sebagainya, sebenarnya ia bukanlah satu perkara yang baru. Memang ada penajaan, atau bantuan-bantuan pendidikan dan latihan TVET secara percuma yang kerajaan berikan sebelum ini.
“Sebagai contoh, untuk masuk ke Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) adalah percuma tapi mungkin ada kelemahan, kekurangan di peringkat penggiat TVET itu sendiri yang tidak menyerlah seperti rakan-rakan mereka yang menggerakkan aliran akademik,” katanya kepada Astro AWANI.
Tambahnya, penggiat TVET tidak boleh bersikap 'rendah diri' selepas ini dan sudah tiba masanya mereka perlu menjadi ejen perubahan kepada masyarakat.
“Selain itu, pemain industri dalam bidang pekerjaan yang memerlukan kemahiran TVET ini perlu turut menyumbang. Kita berhadapan dengan industri dan majikan yang tidak mempunyai sikap nasionalisme yang tinggi.
“Mereka menyerahkan TVET itu hanya kepada kerajaan untuk menguruskan. Kalau kita lihat model negara luar termasuk negara jiran kita Indonesia, mereka mendapat sokonga penuh daripada industri itu sendiri.
“Bahkan, sekolah juga diberi autonomi untuk memilih industri di sekitar mereka yang akhirnya pihak industri menyumbang kembali kepada sekolah,” ujarnya.
Astro AWANI pada Isnin melaporkan sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disasarkan melanjutkan pengajian dalam program TVET menjelang 2025.
Jelas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia selaras dengan apa yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).
Katanya, keprihatinan kerajaan terhadap TVET diserlahkan dengan pembiayaan yang tinggi dengan 80 peratus penyedia TVET awam menawarkan program itu secara percuma.