'Derita' tinggal di PPS hampir sebulan akibat 'banjir termenung'

Abdul Hadi Che Awang
November 12, 2021 11:45 MYT
Kesemua mangsa menyatakan bahawa tempoh berada di pusat penempatan itu merupakan yang terpanjang pernah dilalui sepanjang hidup mereka. - Astro AWANI
PENDANG: Bukan sahaja tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah selama hampir satu bulan malah ada antara mangsa turut berhadapan detik pemergian orang tersayang di pusat penempatan mangsa banjir itu.
Itu antara 'derita' yang terpaksa dihadapi lebih 100 mangsa banjir yang mula menjadikan PPS itu sebagai rumah kedua sejak 24 Oktober lalu susulan kejadian banjir termenung yang berlaku khususnya melibatkan Kg Banggol Besi di Pendang.
Tinjauan Astro AWANI di PPS berkenaan mendapati, kesemua mangsa menyatakan bahawa tempoh berada di pusat penempatan itu merupakan yang terpanjang pernah dilalui sepanjang hidup mereka iaitu melibatkan lebih daripada tiga minggu.
Menurut mangsa banjir, Faridah Abdullah, dalam tempoh itu juga menyaksikan pemergian bapanya.
"Sejarah pindah sebelum ni biasa biasa tetapi kali ini memang sejarah kenangan kita bila pindah bersama bapa kita, dia penat dia masuk hospital dan meninggal beberapa hari lepas di PPS.
"Sehari sahaja terus meninggal, tidak sempat balik tengok rumah. Ini sudah sampai 20 hari lebih, selalunya dalam masa seminggu kami boleh balik. Ini paling lama kami duduk di sini sampai nak buat kerja apa tidak boleh," katanya.
Dalam pada itu, mereka turut berdepan cabaran khususnya dalam menguruskan anak-anak yang masih kecil.
Kata seorang lagi mangsa, Salawati Sabu@Bakar, cabaran paling besar buat anak-anaknya adalah untuk tidur pada waktu malam.
"Rasanya dalam lebih 20 hari, lebih dari tiga minggu. Cabaran adalah waktu tidur, sangat susah. Mandi pun terpaksa bergilir-gilir, tunggu giliran sebab ramai.
"Anak pula tidak berapa sihat, selalu duduk rumah hingga okey sikit. Duduk di sini, jadi selsema, naik demam, nak tidur malam memang tak boleh lena, yang itu sahaja yang susah," katanya.
Mangsa banjir turut risau perkara tidak diingini berlaku di kediaman masing-masing.
Namun, ada juga antara mereka sempat melakukan persiapan awal bagi menghadapi banjir terutama meletakkan barangan dan dokumen penting di tempat yang lebih tinggi.
"Memang ada risau jugak sebab kita ada bela kambing, takut ular, haiwan ganas, haiwan berbisa. Sebab di belakang rumah air banyak, itu yang kita takut, lagi pun ada hutan di belakang rumah.
"Kalau mereka benarkan memang nak balik, sebab sudah lama dan rindu kepada rumah, " kata Zulkifli Musa.
Bagi Mohd Noor Hamid, dia meletakkan bata di bawah perabot supaya tidak rosak akibat air banjir.
"Ini yang paling teruk dalam 15 tahun, buat masa ini saya lapik perabot bagi tinggi bagi tinggi. Ambil kayu buat rak. Kalau kata balik sekejap, tambah lagi bata, tambah lagi, tambah lagi, sehingga kini sudah jadi empat ketul," katanya.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang, Leftenan (Pertahanan Awam) Yuslina Yusoff memaklumkan pihaknya telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk.
Jelas beliau, berberapa kawasan telah dikenalpasti sebagai kawasan berisiko dilanda banjir yang teruk termasuk Kg Alor Ali dan Kg Banggol Besi. Selain itu pemantauan berterusan akan dilakukan di lokasi berkenaan.
"Untuk kali ini, selalunya tahun-tahun sebelum ini lebih kurang seminggu tetapi kali ini sudah lebih tiga minggu akibat air tidak bergerak, tidak mengalir, banjir temenung.
"Ada beberapa kawasan yang kami dikenal pasti sebagai titik panas seperti di Pendang, kita lebih tertumpu kepada Alor Ali, Banggol Besi dan Titi Kera, antara kawasan yang berisiko berbanding yang lain," katanya.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kedah, setakat jam 11 pagi, seramai 151 mangsa daripada 41 keluarga masih berada di dua PPS di daerah Pendang iaitu PPS Dewan Rakan Sukan dan PPS Dewan Cenderawasih.
PPS Dewan Rakan Sukan sebelum ini mula dibuka pada 24 Oktober manakala PPS Dewan Cenderawasih dibuka seminggu kemudian.
#banjir #PPS #mangsa #air termenung
;